Industri pelancongan Sabah perlu diberi pertimbangan khas dalam subsidi diesel bersasar

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan digesa memberi pertimbangan khas kepada industri pelancongan Sabah dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi memastikan kelangsungan operasi pengusaha pelancongan, khususnya di pulau-pulau dan kawasan pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada diesel.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar perlu mengambil kira keunikan geografi Sabah yang berbeza daripada Semenanjung, terutama melibatkan kawasan yang masih menggunakan diesel sebagai sumber utama menjana bekalan elektrik dan menggerakkan aktiviti ekonomi.

“Diesel bukan lagi satu pilihan bagi kebanyakan resort di pulau-pulau pelancongan Sabah yang tidak mempunyai sambungan kepada grid elektrik, sebaliknya ia merupakan keperluan asas untuk menjana bekalan elektrik, mengendalikan pengangkutan laut, logistik serta keseluruhan operasi harian.

“Had penggunaan diesel sebanyak 200 liter sebulan ketika ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi di Sabah, khususnya bagi masyarakat di kawasan pedalaman serta pemain industri pelancongan yang menggunakan diesel setiap hari bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Tambah Jafry, kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada pengusaha resort, pengendali bot pelancongan, operator aktiviti marin dan pemain industri pelancongan yang mendakwa tidak layak menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus menyebabkan mereka menanggung kos operasi yang jauh lebih tinggi.

“Keadaan itu lebih membimbangkan apabila industri pelancongan Sabah masih belum memasuki musim kemuncak ketibaan pelancong, menyebabkan peningkatan kos operasi terus menghakis margin keuntungan, menjejaskan aliran tunai dan menyukarkan pengusaha menampung kos utiliti, penyelenggaraan, logistik serta mengekalkan tenaga kerja.

“Jika keadaan ini berterusan tanpa mekanisme sokongan yang bersesuaian, ia boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan pengusaha pelancongan di Sabah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jafry menyeru Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penyertaan sektor pelancongan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar atau memperkenalkan mekanisme khas yang lebih sesuai kepada pengusaha pelancongan di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.

Jafry berkata, beliau turut menghantar surat rasmi kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah bagi memanjangkan rayuan industri pelancongan Sabah supaya diberi pertimbangan khas dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

“Industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi Sabah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat negeri ini, justeru pelaksanaan dasar berkaitan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti operasi di Sabah agar sektor berkenaan terus berkembang secara mampan tanpa dibebani kos operasi yang tinggi,” kongsinya.

Related Posts

Sukan Sekolah platform lahir atlet Sabah bertaraf dunia – James Ratib

KOTA MARUDU – Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkukuhkan pembangunan sukan sekolah sebagai platform mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berdaya saing dan seimbang selaras dengan aspirasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kejohanan 4×4 Challenge perkasa Ranau sebagai destinasi pelancongan khususnya sukan lasak

RANAU – Kejohanan Pacuan Empat Roda (4×4 Challenge) berpotensi menjadi acara tahunan bertaraf nasional dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Ranau sebagai destinasi sukan lasak serta pelancongan pengembaraan utama di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar perjelas isu jentera kerajaan, bukan larangan terhadap program FELDA

Anwar perjelas isu jentera kerajaan, bukan larangan terhadap program FELDA

Peruntukan Persekutuan kepada negeri dibuat secara adil – PM

Peruntukan Persekutuan kepada negeri dibuat secara adil – PM

Pas mencatur kuasa di Johor, punca ketidakstabilan politik akan berlaku

Pas mencatur kuasa di Johor, punca ketidakstabilan politik akan berlaku

Industri pelancongan Sabah perlu diberi pertimbangan khas dalam subsidi diesel bersasar

Industri pelancongan Sabah perlu diberi pertimbangan khas dalam subsidi diesel bersasar

Sukan Sekolah platform lahir atlet Sabah bertaraf dunia – James Ratib

Sukan Sekolah platform lahir atlet Sabah bertaraf dunia – James Ratib

Kejohanan 4×4 Challenge perkasa Ranau sebagai destinasi pelancongan khususnya sukan lasak

Kejohanan 4×4 Challenge perkasa Ranau sebagai destinasi pelancongan khususnya sukan lasak