KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan penurunan harga minyak di pasaran dunia memberi manfaat secara langsung kepada pengguna melalui harga barangan yang lebih rendah di pasaran tempatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu menjadi keutamaan kerajaan selepas kejayaan mengekang kenaikan harga ketika krisis tenaga menerusi pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menurut beliau, tumpuan kini beralih kepada usaha memastikan penurunan kos tenaga tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak sehingga pengguna gagal menikmati manfaat sebenar.
“Apabila harga menunjukkan trend menurun, inilah peluang untuk kita memastikan penurunan itu seiring dengan kos tenaga yang menurun.
“Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan tidak berlaku elemen pencatutan atau tindakan mengambil kesempatan sehingga beban itu terus ditanggung oleh pengguna dalam keadaan kos operasi telah mula menurun,” katanya ketika sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, selain memantau harga barangan, kerajaan turut mengambil langkah memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar terus berupaya beroperasi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk PMKS yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, lebih 1,000 PMKS telah memanfaatkan kemudahan pembiayaan itu dengan jumlah kelulusan mencecah RM700 juta.
Dalam masa sama, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan akan terus mempercepat agenda pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti ekonomi berasaskan nilai rendah.
“Kita perlu komited ke arah industri HGHV supaya kita tidak bergantung pada nilai yang rendah atau sederhana selama-lamanya. Sebagai contoh, apabila bercakap mengenai semikonduktor, Malaysia bukan baharu dari segi semikonduktor pada peringkat global,” ujarnya.
Namun katanya, kekuatan negara masih bergantung pada ‘back-end’ atau kedudukan di rantaian yang agak rendah untuk keseluruhan semikonduktor.
“Justeru, intervensi yang boleh kita buat, termasuk membawa akses kepada hak milik intelek (IP) itu sendiri, bagaimana untuk menembusi ke arah ‘front-end’ atau pada peringkat penciptaan semikonduktor. Perubahan sedang berlaku sekarang,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah kerjasama dengan ARM Limited, yang menyaksikan sebanyak 19 token telah dianugerahkan sebagai langkah awal ke arah menghasilkan cip rekaan Malaysia menjelang tahun 2030.




