Lawatan rasmi luar negara ikut keperluan strategik, tidak jejas langkah penjimatan – MoF

PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan langkah penjimatan perbelanjaan yang sedang dilaksanakan tidak bermaksud menghentikan semua perjalanan rasmi ke luar negara, sebaliknya hanya mengehadkan lawatan kepada urusan yang benar-benar penting serta memberi manfaat strategik kepada negara.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, penjelasan itu dibuat susulan laporan portal CodeBlue bertajuk ‘Ministers, Officials Go Around the World on 50 Trips in 50 Days’, yang mempersoalkan lawatan rasmi pemimpin dan pegawai kerajaan ketika langkah penjimatan sedang dilaksanakan.

Menurut kementerian itu, langkah penjimatan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pengurusan fiskal bersasar bagi menampung peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi susulan krisis Asia Barat yang menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak.

“Kerajaan memilih untuk terus menyerap peningkatan kos subsidi bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup.

“Bagi membantu membiayai sebahagian kos subsidi tambahan itu, MoF mengeluarkan garis panduan penjimatan yang mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat wajib serta urusan yang benar-benar penting dan memberi impak strategik kepada negara,” menurut kenyataan itu.

MoF berkata, seperti ditegaskan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah penjimatan itu dilaksanakan tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat, termasuk sektor kesihatan dan pendidikan.

Menurut kenyataan itu, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) turut tertakluk kepada garis panduan penjimatan, tiada sekatan dikenakan terhadap pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Bagi memastikan bekalan perubatan kekal mencukupi, KKM bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut melaksanakan audit pantas bagi mengenal pasti lebih awal sebarang risiko gangguan rantaian bekalan global.

Selain itu, kerajaan menyasarkan pelantikan lebih 18,000 petugas kesihatan pada tahun depan, termasuk 4,500 pegawai perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan bagi pembelian ubat-ubatan juga ditingkatkan kepada RM6.5 bilion pada 2026 berbanding RM6 bilion pada 2025, manakala Program Latihan Kepakaran Lanjutan diperuntukkan RM24 juta bagi menyediakan 400 slot latihan berbanding RM21.8 juta pada tahun lalu.

Mengulas mengenai lawatan rasmi ke luar negara, MoF berkata, terdapat beberapa lawatan yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara, terutama dalam situasi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

Katanya, lawatan kerja Perdana Menteri ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini, misalnya, berjaya memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara serta mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia.

Menurut kementerian itu, penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan serta kerjasama serantau juga penting bagi mempertahankan kepentingan negara, menarik pelaburan dan memastikan akses kepada bekalan strategik.

“Lawatan rasmi tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai untuk negara serta rakyat,” katanya.

MoF menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan negara secara berhemah dengan memperketat perbelanjaan yang boleh dikawal, sambil memastikan sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan kepada rakyat terus diberi keutamaan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara optimum bagi menghadapi cabaran ekonomi global tanpa mengabaikan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Related Posts

Pas mahu jadi abang besar kuasai pengaruh, logo PN

PAS mungkin satu-satunya parti politik di negara ini yang gemar mengulangi episod drama bersiri di mana peristiwa lampau menempatkan Pas sebagai parti yang lahir pada 24 November 1951 hasil tantangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Puad pertahan tindakan keluar UMNO, dakwa sistem pemilihan calon tidak telus

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertahankan keputusannya meninggalkan parti itu dengan menegaskan tindakannya bukan berpunca daripada kegagalan anaknya dipilih sebagai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PGA serbu lombong bauksit haram, tahan 9 lelaki dan jentera

PGA serbu lombong bauksit haram, tahan 9 lelaki dan jentera

Pemimpin masyarakat, penjawat awam diseru hayati semangat hijrah dalam kehidupan harian

Pemimpin masyarakat, penjawat awam diseru hayati semangat hijrah dalam kehidupan harian

Serbuan dua kilang di Klang, 270 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen

Serbuan dua kilang di Klang, 270 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen

Dua nelayan dilapor hilang ditemukan lemas selepas bot karam

Dua nelayan dilapor hilang ditemukan lemas selepas bot karam

Inkues Zara: Tiada bukti konklusif catatan ditulis pihak lain – Pakar

Inkues Zara: Tiada bukti konklusif catatan ditulis pihak lain – Pakar

KPDN Sabah peroleh sabitan kedua syarikat pembinaan ingkar Award TTPM

KPDN Sabah peroleh sabitan kedua syarikat pembinaan ingkar Award TTPM