
KUALA LUMPUR – Bilangan ladang penternakan babi berdaftar di negara ini menurun kepada 338 pada tahun lalu berbanding 435 ladang yang direkodkan pada 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeluaran daging babi turut mencatatkan penurunan.
“Ia apabila dianggarkan sebanyak 115,283.7 tan metrik pada 2025 berbanding 136,506.30 tan metrik pada tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, bekalan daging babi di pasaran tempatan masih mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna,” katanya ketika menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata, Jumlah keperluan daging bagi bagi pasaran Malaysia, anggaran keperluan domestik pada tahun 2025 adalah sebanyak 213,927.92 tan metrik.
“Anggaran ini dibuat berdasarkan keperluan penggunaan daging babi dalam kalangan penduduk bukan Islam yang merangkumi 36.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Pada tahun lalu juga jumlah bekalan daging babi negara dianggarkan sebanyak 221,958.69 tan metrik dan bekalan adalah mencukupi,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan industri penternakan babi bagi memastikan bekalan domestik kekal stabil.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau prestasi pengeluaran daging babi negara, termasuk bilangan ladang babi berdaftar, kapasiti pengeluaran, risiko penyakit seperti ASF, serta keperluan bekalan bagi memastikan pasaran tempatan kekal stabil dan mencukupi,” katanya.









