
KUCHING – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini giat mendokumentasikan kosa kata membabitkan 27 etnik utama di pedalaman Sarawak bagi melestarikan warisan bahasa sukuan agar tidak luput ditelan zaman.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, inisiatif berkenaan digerakkan secara proaktif menerusi projek Pangkalan Data Umum Bahasa Suku Sarawak.
Beliau yang berucap mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, pendokumentasian tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan kelangsungan identiti masyarakat peribumi setempat.

“Usaha ini mesti diteruskan bukan sahaja untuk memelihara kosa kata masyarakat peribumi, malah menjadi wahana utama yang menyumbang kepada asimilasi dan pengayaan perbendaharaan kata bahasa kebangsaan kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sebuah hotel pada Isnin. Turut hadir, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam perkembangan lain, beliau menambah, DBP turut menggariskan lima teras menerusi Rancangan Strategik 2026-2030 bagi memperkasakan ekosistem bahasa Melayu selaras dengan agenda Reformasi Pendidikan dan kerangka Malaysia MADANI.
Menurutnya, bagi merealisasikan matlamat sistem pendidikan digital negara, DBP sedang memperkasakan inisiatif pendigitalan persuratan berasaskan data raya (big data).
Langkah itu, tegas beliau, bertujuan membangunkan korpus kecerdasan buatan (AI) bahasa Melayu yang canggih bagi kegunaan masa hadapan.







