KAZAN – Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa dialog dan diplomasi perlu terus dijadikan asas utama dalam menangani pelbagai konflik serta ketegangan geopolitik dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Pendirian itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi Kenyataan Negara sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung di sini, hari ini.
Menurut beliau, sidang kemuncak berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara ASEAN dan Persekutuan Rusia, khususnya dalam mendepani cabaran global semasa.
“Malaysia kekal berpegang teguh kepada prinsip bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman yang mendalam, serta penghormatan yang tinggi terhadap undang-undang antarabangsa.
“Selain isu, fokus turut diberikan kepada usaha melonjakkan kerjasama ekonomi dan teknologi moden demi manfaat bersama kedua-dua pihak. Antara sektor strategik yang diberi penekanan utama termasuklah perdagangan, pelaburan, sektor digital, sains dan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI), tenaga, keterjaminan makanan, industri halal, serta pengukuhan hubungan antara rakyat.
“Sektor ini dilihat mampu menjana impak serta manfaat yang lebih besar kepada seluruh negara anggota ASEAN dan Persekutuan Rusia,” katanya.
Menyentuh perkembangan di Asia Barat, Anwar berkata, Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya dengan menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta.
Beliau berkata, Malaysia turut mendesak supaya bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan, selain terus mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan dan kedaulatan tanah air mereka.
“Malaysia mendesak supaya bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan, selain terus konsisten mempertahankan hak mutlak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan dan kedaulatan tanah air mereka sendiri.
“Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya perluasan tindakan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel ke Lubnan. Tindakan agresif rejim itu yang menyasarkan serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) turut dikutuk sekeras-kerasnya kerana jelas melanggar undang-undang dan piagam antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya ASEAN dan Rusia mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama sedia ada berteraskan prinsip saling menghormati, manfaat bersama serta komitmen yang kukuh terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat.



