Jepun turunkan tahap amaran perjalanan ke Sabah Timur, bukti keselamatan negeri semakin kukuh

KOTA KINABALU – Keputusan Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi beberapa kawasan di Sabah Timur membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap peningkatan tahap keselamatan, kestabilan dan kesiapsiagaan negeri itu dalam menerima pelancong global.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkembangan berkenaan mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam aspek keselamatan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi keselamatan dalam memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan serta perlindungan kepada penduduk dan pelawat.

“Penurunan tahap amaran perjalanan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya berdasarkan perubahan sebenar di lapangan termasuk rekod sifar kejadian penculikan untuk wang tebusan sejak 2020 serta peningkatan koordinasi antara agensi penguat kuasa.

“Sabah mengalu-alukan kehadiran pelawat dari seluruh dunia dengan penuh keyakinan dan rasa bangga. Keputusan Jepun ini menunjukkan bahawa keadaan keselamatan Sabah semakin baik dan diiktiraf berdasarkan realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Menurut Jafry, berdasarkan semakan terbaharu, Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi pulau-pulau di luar pantai Sabah Timur, kecuali Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan beberapa kawasan lain, daripada Tahap 3 kepada Tahap 2.

“Sebelum ini, Tahap 3 membawa maksud nasihat supaya semua perjalanan dielakkan, manakala Tahap 2 pula mengesyorkan pelancong mengelakkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan berkenaan.

“Nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai dari Kudat hingga Tawau termasuk Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan kawasan sekitarnya turut diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1, iaitu tahap yang hanya menasihatkan pelancong supaya meningkatkan kewaspadaan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri menghargai pengiktirafan daripada rakan antarabangsa termasuk Jepun yang sentiasa mengemas kini nasihat perjalanan berdasarkan keadaan semasa dan perkembangan keselamatan di sesuatu kawasan.

“Sabah kini berada dalam kedudukan lebih kukuh sebagai destinasi pelancongan serantau yang menawarkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta layanan mesra kepada pengunjung.

“Sehubungan itu, syarikat penerbangan harus menilai semula dan meningkatkan hubungan penerbangan ke Sabah bagi memenuhi jangkaan peningkatan ketibaan pelancong susulan perkembangan positif tersebut.

“Peningkatan kekerapan penerbangan serta pembukaan laluan baharu amat penting bagi memperkukuh aksesibiliti Sabah dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Sabah kini giat membuat persiapan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai inisiatif utama mempromosikan keunikan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia kepada masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan negeri tidak akan berasa selesa dengan pencapaian semasa dan akan terus memperkukuh aspek keselamatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan Sabah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan Sabah kekal sebagai destinasi yang selamat, menarik dan bersedia menerima lebih ramai pelawat dari Jepun serta seluruh dunia,” tegasnya.

Related Posts

STPM 2025: Fokus kelas, aktif bersukan rahsia Danish Akhtar raih 4.00

SARATOK – Tumpuan sepenuhnya di dalam kelas serta bijak mengimbangi masa dengan aktiviti bersukan menjadi resipi kejayaan seorang pelajar Kolej Tingkatan Enam Saratok meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00…

Lebih lanjut

teruskan membaca
STPM 2025: PNGK Sarawak meningkat 2.75, 115 pelajar raih 4.00

KUCHING – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Peringkat Negeri Sarawak merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.75 berbanding 2.68 pada tahun sebelumnya. Pengumuman…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

STPM 2025: Fokus kelas, aktif bersukan rahsia Danish Akhtar raih 4.00

STPM 2025: Fokus kelas, aktif bersukan rahsia Danish Akhtar raih 4.00

STPM 2025: PNGK Sarawak meningkat 2.75, 115 pelajar raih 4.00

STPM 2025: PNGK Sarawak meningkat 2.75, 115 pelajar raih 4.00

12 gajah liar ancam penduduk kampung berjaya dipindahkan ke habitat asal

12 gajah liar ancam penduduk kampung berjaya dipindahkan ke habitat asal

Keputusan STPM 2025 Sabah catat peningkatan prestasi

Keputusan STPM 2025 Sabah catat peningkatan prestasi

Sindiket penyelewengan tumpas, diesel dan aset bernilai lebih RM131,000 disita

Sindiket penyelewengan tumpas, diesel dan aset bernilai lebih RM131,000 disita

Penyeludupan petrol di sempadan Kelantan-Thailand terkawal

Penyeludupan petrol di sempadan Kelantan-Thailand terkawal