
MIRI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel selepas menyerbu sebuah premis tanpa lesen dalam operasi bersepadu pada Rabu.
Operasi bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu digerakkan hasil risikan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).
Menurut kenyataan KPDN Miri pada Khamis, serbuan menemukan aktiviti pemindahan cecair disyaki minyak diesel yang sedang rancak dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemindahan masuk dan keluar bahan kawalan itu dilakukan menggunakan beberapa kenderaan serta tangki simpanan.

“Premis berkenaan dipercayai menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” kata kenyataan tersebut.
Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa merampas 15,930 liter diesel bernilai RM34,249.50.
Selain diesel, beberapa peralatan lain turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM131,079.50.
Susulan penemuan itu, KPDN Miri membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat pula berdepan hukuman denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.
“KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan dan menggesa masyarakat supaya menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang,” tegas kenyataan itu.
Sebarang aduan boleh disalurkan terus melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, aplikasi Ez ADU KPDN atau pusat panggilan di talian 1-800-886-800.





