KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diberi keutamaan kerana tindakan pencegahan dan persediaan rapi mampu mengurangkan impak cuaca ekstrem yang semakin sukar diramal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara ketetapan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas meneliti pembentangan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkaitan fenomena El Nino dan kesannya terhadap negara.
“Mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, MTEN turut membincangkan pembentangan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) berhubung perancangan serta hala tuju sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas negara.
“Kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” katanya.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dan berhemah dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa, ketegangan geopolitik serta pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin selain mengekalkan daya tahan ekonomi negara agar kekal stabil dan berupaya menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.





