PBB dedah serangan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat catat rekod tertinggi

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengeluarkan amaran keras bahawa siri serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki kini dikesan berlaku pada kadar “paling tinggi dalam sejarah”.

Mengulas perkembangan itu, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, memetik data daripada Pejabat Penyelarasan Urusan Kemanusiaan (OCHA) yang mendedahkan insiden keganasan terbabit kini mencatatkan purata enam kejadian setiap hari, sekali gus mengakibatkan kecederaan serta kemusnahan harta benda yang serius.

“Jumlah serangan pendatang haram Yahudi yang menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda di Tebing Barat pada tahun ini kini telah melepasi angka 1,000 kes.

“Siri serangan ini telah menjejaskan lebih daripada 230 komuniti di seluruh pelosok Tebing Barat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York, lapor Anadolu.

Dujarric turut menambah bahawa lebih 2,200 warga Palestin terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing pada tahun ini akibat keganasan melampau serta sekatan akses oleh pendatang haram tersebut, di samping ratusan lagi yang kehilangan tempat tinggal susulan tindakan pihak berkuasa Israel merobohkan rumah mereka.

“Pada minggu lalu sahaja, serangan oleh kumpulan pendatang haram itu mengakibatkan lebih 30 warga Palestin cedera selain membawa kepada kemusnahan harta benda yang meluas, kerosakan infrastruktur utama serta menjejaskan punca pendapatan penduduk,” jelas beliau.

Pihak berkuasa Palestin dilaporkan telah berdekad-dekad menggesa komuniti antarabangsa untuk menekan Israel bagi menghentikan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat, yang mana PBB sendiri mengklasifikasikannya sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Sejak Israel melancarkan kempen ketenteraannya ke atas Gaza pada Oktober 2023, pegawai Palestin menegaskan bahawa langkah agresif rejim Zionis untuk menguasai Tebing Barat secara total kini semakin diperhebat melalui siri perobohan rumah, pengusiran paksa dan perluasan kawasan penempatan secara mendadak.

Berdasarkan data daripada pertubuhan hak asasi Peace Now, kira-kira 500,000 pendatang haram Israel kini mendiami kawasan penempatan haram di seluruh Tebing Barat, manakala 250,000 lagi menetap di kawasan yang dibina di atas tanah milik Palestin di timur Baitulmaqdis yang diduduki.

Statistik rasmi Palestin turut menunjukkan bahawa tentera rejim serta kelompok pendatang haram telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,169 nyawa rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk timur Baitulmaqdis, mencederakan lebih 12,600 orang, serta menahan sekitar 23,000 penduduk sejak Oktober 2023.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam satu ketetapan bersejarah mengumumkan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram dan menuntut pemindahan keluar segera kesemua penempatan haram di Tebing Barat serta timur Baitulmaqdis.

Related Posts

Malaysia ulangi pendirian utamakan diplomasi tangani ketegangan global – PM

KAZAN – Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa dialog dan diplomasi perlu terus dijadikan asas utama dalam menangani pelbagai konflik serta ketegangan geopolitik dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu. Pendirian itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia sambut baik persefahaman AS-Iran demi keamanan Asia Barat

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan positif hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan persefahaman yang dicapai kedua-dua negara ke arah menamatkan permusuhan di Asia Barat. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Prestasi STPM Perak catat rekod terbaik sejak 2013, semua calon layak terima sijil

Prestasi STPM Perak catat rekod terbaik sejak 2013, semua calon layak terima sijil

Gara-gara ‘angkut’ migran, dua anggota tentera didakwa ke mahkamah

Gara-gara ‘angkut’ migran, dua anggota tentera didakwa ke mahkamah

Suami Nancy Shukri, Datuk Kamil Misuari meninggal dunia

Suami Nancy Shukri, Datuk Kamil Misuari meninggal dunia

Malaysia ulangi pendirian utamakan diplomasi tangani ketegangan global – PM

Malaysia ulangi pendirian utamakan diplomasi tangani ketegangan global – PM

Terengganu cipta sejarah, kekal negeri terbaik STPM 2025

Terengganu cipta sejarah, kekal negeri terbaik STPM 2025

Dua disabitkan gagal patuhi award TTPM

Dua disabitkan gagal patuhi award TTPM