
KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia memohon maaf secara terbuka kepada sebuah keluarga yang tidak dibenarkan menaiki penerbangan AK1776 dari Singapura ke Kuching pada 26 Mei lalu.
Syarikat itu juga turut memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih inklusif bagi meningkatkan sokongan terhadap penumpang berkeperluan khas susulan insiden tersebut.
Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X (Kumpulan AirAsia), Kapten Saravanan Subramaniam berkata, pihaknya memohon maaf kepada keluarga yang terlibat atas kesulitan yang dialami.
Menurut beliau, walaupun keputusan yang dibuat ketika itu adalah selaras dengan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang sedang berkuat kuasa, syarikat tidak pernah berniat untuk menghalang mana-mana penumpang daripada melakukan perjalanan.
“Insiden ini memberi peluang kepada kami untuk menambah baik proses sedia ada bagi memastikan tetamu yang mempunyai keperluan khusus mendapat sokongan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Selasa.
Beliau berkata, SOP yang telah dipertingkatkan itu turut dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan.
Sementara itu, penumpang yang terkesan, Syarifah Ella Wan Wahab menyambut baik tindakan AirAsia dan menyifatkan perubahan yang dilakukan sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh agenda keterangkuman.
Menerusi hantaran di Threads, dia mengesahkan telah menerima permohonan maaf rasmi daripada syarikat penerbangan itu selain bayaran balik penuh dan tawaran penerbangan percuma sebagai tanda ihsan.
“Aksesibiliti dan keterangkuman bukan satu keistimewaan, sebaliknya hak asasi yang perlu dinikmati semua individu,” katanya.
Menurut Syarifah Ella, antara perubahan paling signifikan ialah pengiktirafan terhadap penggunaan Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD) yang kini dibenarkan untuk individu berusia enam bulan dan ke atas, termasuk penumpang berkeperluan khas, tertakluk kepada garis panduan pengeluar.
Sebelum ini, kemudahan tersebut hanya dibenarkan untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga tiga tahun dengan berat maksimum 18 kilogram.
Terdahulu, kisahnya tular selepas berkongsi pengalaman diarahkan keluar dari pesawat bersama anak perempuannya, Zara, yang menghidap Cerebral Palsy ketika berada dalam penerbangan berkenaan.
Difahamkan, tindakan itu diambil susulan isu teknikal berkaitan kelulusan penggunaan kerusi khas yang dibawa keluarga tersebut bagi menyokong keadaan fizikal Zara sepanjang penerbangan.

