
PUTRAJAYA – Orang ramai disaran segera melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya menemui kandungan atau pautan berkaitan perjudian dalam talian yang tersebar di platform digital menjelang bermulanya Piala Dunia 2026 pada Khamis ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Seperti kita ketahui, judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara kita. Jadi sekiranya pihak MCMC menerima aduan tindakan boleh diambil.
“Kepada orang awam jika anda melihat pautan atau kandungan yang bersifat judi dalam talian, sila panjangkan aduan kepada pihak MCMC untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini, semalam.
Menurut beliau, pengendali laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan perjudian dalam talian juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang negara.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa sindiket pertaruhan antarabangsa bersama rangkaian bookie tempatan giat menarik penyertaan kaki judi dengan menawarkan ganjaran wang tunai bernilai jutaan ringgit sempena kejohanan Piala Dunia 2026.
Laporan khas berkenaan turut mendedahkan perubahan modus operandi sindiket yang kini lebih banyak menggunakan platform digital untuk mengendalikan urusan pertaruhan.
Aktiviti mengutip wang pertaruhan dilakukan melalui ejen dan punter yang beroperasi secara dalam talian, selain memanfaatkan pelbagai laman sesawang berpangkalan di luar negara bagi mengembangkan rangkaian pelanggan mereka.







