
SURAH Al-Mulk adalah antara surah yang boleh melepaskan kita daripada azab kubur kerana kelebihan yang terdapat dalam surah ini.
Namun ramai tidak tahu tentang kelebihan-kelebihan ini dan akhirnya mereka tidak berusaha membaca ataupun menghafal surah ini.
Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan (Pekan), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, surah ini adalah surah ke-67 dalam al-Quran dan ia juga dikenali dengan nama ‘At Tabaarak’ yang bermaksud Maha Suci.
Surah ini juga tergolong surah ‘Makkiyah’ yang terdiri daripada 30 ayat.
“Ia adalah surah yang membawa keamanan dan keselamatan kerana ia akan melindungi kita dari seksa kubur sekiranya diamalkan.
“Selain itu, surah ini juga patut dibaca setiap hari dengan penuh istiqamah dan menjadi amalan setiap umat Islam,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi 10 kelebihan mengamalkan surah Al-Mulk.
Kelebihan yang pertama adalah pembaca akan terhindar dari azab kubur. Ini boleh dilihat di mana Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”
“Selain daripada melindungi pembaca dari terkena seksa azab kubur, surah ini juga akan membantu kita untuk memasuki syurga.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya di dalam al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.’
“Selain itu, satu kelebihan yang tidak diketahui ramai umat Islam, sekiranya kita mengamalkan surah ini, kita akan dimasukkan ke dalam syurga.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga’,” katanya.
Beliau berkata, mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, kita diajar untuk sentiasa mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
Katanya, jika kita membaca surah ini sebelum tidur, bermakna kita sudah mengikuti sunnah Baginda.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan Surah Al Mulk,” ujarnya.
Jika kita selalu mengamalkan surah ini pada waktu malam, maka ia akan menjadi pengganti apabila ia sudah waktu soal jawab dengan Munkar Nakir.
Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.
Seterusnya, Ahmad Irshadi memaklumkan, jika kita selalu membaca surah ini dalam kehidupan seharian, maka Allah akan mencerahkan wajah kita seperti Nabi Yusuf pada hari kiamat.
“Ini boleh lihat di mana Saiyidina ‘Ali berkata: ‘Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti Nabi Yusuf’,” tambahnya.
![]()
Selain dari memberi pahala apabila kita membaca surah ini, Allah SWT juga akan mengampunkan segala dosa mereka yang sentiasa mengamalkan membaca sehingga akhir surah.
“Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”.
(Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dan status hadith ini adalah Hadith Hasan)
Rasulullah SAW juga bersabda bahawa hati kita akan beriman sekiranya kita mempelajari dan membaca surah ini dengan penuh istiqamah.
Baginda bersabda:
“Hatiku ingin supaya surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.”
“Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
Kita juga akan berasa disayangi dan dikasihi oleh orang di sekeliling kita jika kita selalu mengamalkan surah mulia ini. Ia boleh dilihat di mana ulama berkata:
“Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”
Melindungi kita dari seksa
Apabila malaikat Munkar dan Nakir datang untuk soal kita, manusia akan pengsan apabila melihat wajah malaikat azab.
Tetapi bagi mereka yang mengamalkan surah Al-Mulk, ia akan menjadi penghalang daripada diseksa.
Ini boleh dilihat di mana:
Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah Al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur. – Hadith Riwayat Al-Tirmidzi: 2890
Kesimpulannya, surah Al-Mulk sangat bagus untuk menjadi amalan setiap umat Islam.








