
PASIR MAS – Taktik seorang lelaki menjadikan rumah sewa sebagai makmal memproses dan menjual air ketum di Gual Periok terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.
Serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu membawa kepada rampasan 100 liter air ketum serta peralatan memproses minuman berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,430.
Seorang lelaki berusia 40 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.
Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan 100 bungkusan air ketum yang disimpan di dalam sebuah peti sejuk beku.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam kegiatan memproses air ketum sejak awal tahun 2025.
“Daun ketum dibeli daripada seorang individu dikenali sebagai Man sebelum dimasak menggunakan dua periuk sehingga menghasilkan kira-kira 200 bungkusan air ketum.
“Air ketum tersebut dijual pada harga RM10 sebungkus,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai menyewa rumah berkenaan khusus sebagai tempat memproses bahan terlarang itu, namun menetap di rumah mentuanya di Kampung Repek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis mmethamphetamine.
Foto: Utusan



