
SIMPANG RENGGAM – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang menaiki sebuah Toyota Vios dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Perodua Alza, BMW, Mercedes-Benz dan Proton Wira.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Seek Mat Soh, 73; Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, yang dipercayai berasal dari Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.
Menurut pihak bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.16 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, didapati kemalangan membabitkan lima buah kenderaan dengan beberapa mangsa terperangkap dan mengalami kecederaan serius.
“Empat mangsa yang menaiki Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” menurut pasukan penyelamat.
Lebih menyayat hati, impak pelanggaran yang kuat menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak keluar daripada kenderaan sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah Mercedes-Benz yang turut terlibat dalam nahas tersebut.
Dalam kejadian sama, dua individu mengalami kecederaan iaitu pemandu Perodua Alza, Husnizam Hisamudin, 38, serta pemandu BMW yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu Proton Wira, Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, bersama empat individu yang menaiki Mercedes-Benz iaitu Mohd Azhar Ahmad, 63, Muhammad Hariz Mohd Azhar, 23, Rahimar A Rahman, 57, serta seorang wanita yang identitinya belum diperoleh, dilaporkan terselamat.
Operasi menyelamat melibatkan anggota bomba, polis dan petugas perubatan yang bertindak mengeluarkan mangsa serta memastikan keadaan di lokasi selamat sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Tragedi yang meragut empat nyawa itu sekali lagi menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika memandu.




