
KOTA KINABALU – Keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan geran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion tahun ini dilihat sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan negeri.
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (PKPP UMS), Profesor Madya Dr Jurry Foo berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka memberi impak besar terhadap pelaksanaan program pembangunan rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan insan dan pemerkasaan rakyat Sabah.
“Sabah Maju Jaya adalah slogan negeri yang menunjukkan negeri ini benar-benar ingin maju daripada semua aspek.
“Sebagai rakyat negeri Sabah, semestinya saya ingin melihat negeri ini aman dan Makmur dari pelbagai aspek fizikal dan sosial.
“Dana tambahan yang diumumkan oleh PMX adalah nafas dan harapan rakyat negeri ini untuk menyusun semula strategi agar dana tersebut benar-benar memanfaatkan rakyat Sabah secara menyeluruh.
“Namun kali ini biar dana tersebut disalurkan melalui program yang dirancang secara bersepadu,” kongsinya kepada wartawan The Malaysia Press pada Ahad.
Menurut Jurry, kemapanan sesebuah negara bergantung kepada warganegara yang bertanggungjawab dan terampil.
“Demi Sabah Maju Jaya Negeri Sabah, masyarakat MADANI memerlukan generasi muda yang mempunyai nilai jati diri yang kukuh dalam memainkan peranannya sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
“Justeru, saya amat berharap agar sebahagian peruntukan yang diterima akan turut disalurkan ke Institusi Pengajian Tinggi di Sabah, khususnya bagi pelaksanaan khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu, seperti yang dilaksanakan di bawah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (PKPPUMS) dengan inisiatif pemerkasaan ESG (Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus) dan SDG (Matlamat Pembangunan Mapan) dalam khidmat Masyarakat,” kongsinya.
Tambah Jurry, penerapan ESG sangat penting bagi memastikan negara ditadbir dengan lebih cekap dan bersepadu dengan mengambil kira semua aspek daripada urus tadbir, sumber dan masyarakat.
“Pada masa ini, banyak pembangunan yang hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal sahaja sehingga terlupa tentang pembinaan dan pembangunan insaniah yang sebenarnya jawapan kepada kesejahteraan hidup secara menyeluruh.
“Kemahiran insaniah ini tidak boleh diajarkan di dalam bilik kuliah tetapi dilaksanakan melalui pengalaman sebenar menerusi interaksi dengan masyarakat.
“Oleh itu, saya berharap mahasiswa diberikan mandad oleh kerajaan negeri Sabah melalui PKPPUMS untuk menjadi duta khidmat masyarakat Sabah maju Jaya melalui saluran dana tersebut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, program khidmat masyarakat yang berasaskan SDG akan menjadi lebih berimpak tinggi kepada pelajar dan komuniti sekiaranya mendapat suntikan dana yang secukupnya.
“Pelajar UMS melalui Kursus Kokurikulum Berkredit pasti dapat memperkasakan lagi impak khidmat sosial kepada masyarakat seperti Pendidikan berkualiti, pembudayaan pengurusan alam sekitar dan keusahawanan.
“Inilah cara anak muda dapat memainkan peranan dalam penyertaan komuniti dalam matlamat Pembangunan mapan.
“Sebagai pengkaji sosial yang kerap terlibat dengan komuniti di peringkat akar umbi, saya juga berharap suntikan dana dapat diberikan kepada komuniti yang sangat komited dalam pembangunan produk pelancongan, makanan inovasi dan juga pengusaha yang benar-benar komited,” katanya.
Dalam pada itu, Jurry turut mencadangkan agar diwujudkan dana pemula yang melibatkan sistem bersepadu antara komuniti, universiti dan pihak berkepentinan melalui kaedah ‘menang-menang’ dan ‘mentor-mentee’.
“Sabah mempunyai pelbagai bakat yang boleh diketengahkan, namun apa yang sering menjadi kekangan adalah dana yang boleh membuka ruang kepada mereka untuk terus berkembang.
“Dana tersebut boleh digunakan bagi mewujudkan platform untuk pemerkasaan bakat negeri ini, ia bukan sahaja dapat memperkukuhkan bakat tetapi dapat membuka peluang kerjaya berasaskan bakar,” jelasnya.
Katanya, masalah keciciran pelajar pintar dan berbakat di luar bandar terutamanya dalam aspek akademik akan dapat di atasi dengan suntikan dana bantuan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Sebagai penyelidik dan pensyarah, saya juga berharap agar peruntukan khusus diberikan kepada projek komuniti yang menjurus kepada pemerkasaan bersepadu rakyat Sabah, di mana sektor perkhidmatan akademik, komuniti dan pihak berkepentingan dapat bekerja bersama sebagai satu entiti yang saling menyokong antara satu sama lain sebagai satu sistem.
“Ini secara tidak langsung akan dapat menggalakkan setiap komponen masyarakat dapat berfungsi dengan lebih berkesan pada kos yang lebih signifikan,” terangnya.
Menurut Profesor Madya bidang Geografi (Biogeografi, Alam sekitar dan Pembangunan), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah itu lagi, pihaknya telah menganjurkan hampir seribu buah aktiviti dan program khidmat masyarakat yang menghimpunkan pelajar, komuniti serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh kerjasama dan pembangunan masyarakat di negeri ini.
Katanya, amalan ESG, SDG serta mengintegrasikan konsep Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) turut diterapkan dalam program-program yang dianjurkan.





