
PENAMPANG – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Penampang menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion tahun ini sebagai satu langkah bersejarah yang membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh hak dan kedudukan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua AMK Penampang, Eldridge Laurence Timis berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sahaja memberi manfaat kewangan yang lebih besar kepada Sabah, malah menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh melibatkan hubungan Persekutuan dan negeri.
“Bayaran RM1.5 bilion tersebut merupakan bayaran interim sementara menunggu penyelesaian mekanisme pembayaran hasil 40 peratus yang masih dalam proses rundingan teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Adalah tidak tepat untuk menggambarkan pengumuman ini sebagai penolakan terhadap hak Sabah atau sebagai pengganti kepada tuntutan 40 peratus yang termaktub.
“Sebaliknya, peningkatan yang begitu ketara daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan Sabah terus menerima manfaat yang lebih besar sementara penyelesaian jangka panjang dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri berhubung peningkatan bayaran khas interim kepada Sabah yang dilihat sebagai antara langkah paling signifikan dalam usaha memperkukuh pelaksanaan MA63 sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Rakyat Sabah perlu menilai isu tersebut berdasarkan fakta dan bukannya persepsi politik semata-mata.
“Selama beberapa dekad, isu pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah gagal diselesaikan secara menyeluruh walaupun sebahagian pihak yang kini lantang mengkritik kerajaan pernah berada dalam pentadbiran Persekutuan sebelum ini.
“Realitinya, belum pernah mana-mana kerajaan sebelum ini meningkatkan bayaran khas kepada Sabah sehingga mencecah RM1.5 bilion setahun.
“Ini merupakan satu rekod baharu yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menghargai usaha konsisten Perdana Menteri dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63 serta menyelesaikan pelbagai isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak yang tertangguh sejak sekian lama.
“Kejayaan ini turut disumbangkan oleh hubungan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya turut menghargai peranan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang disifatkan sebagai antara pemimpin yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
“Peningkatan bayaran interim itu perlu dilihat sebagai satu kemajuan besar ke arah penyelesaian menyeluruh isu tuntutan kewangan Sabah, bukannya sebagai pengakhiran kepada tuntutan hak negeri tersebut.
“RM1.5 bilion bukan pengganti kepada tuntutan 40 peratus, tetapi bukti bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah penyelesaian yang lebih adil dan mampan untuk Sabah.
“Apa yang lebih penting ialah rundingan terus berjalan dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini tidak pernah dipertikaikan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha dialog dan rundingan yang sedang berlangsung demi memastikan hak-hak Sabah dapat direalisasikan secara tersusun, adil dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat negeri itu.
“Dengan komitmen berterusan serta semangat kerjasama antara semua pihak, kami yakin hak Sabah dapat direalisasikan dengan lebih mampan demi masa depan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.




