
KOTA KINABALU – Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin yang paling serius dalam menyantuni tuntutan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk menerusi peningkatan bayaran interim khas negeri itu sehingga RM1.5 bilion.
Menurutnya, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap agenda MA63 ketika ini dapat dilihat melalui pelbagai keputusan dasar, rundingan dan komitmen kewangan yang disifatkannya lebih jelas berbanding pentadbiran terdahulu.
“Isu berkaitan MA63, formula 40 peratus hasil negeri, autonomi, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas telah lama diperjuangkan oleh pelbagai pihak di Sabah.
“Bagaimanapun era pentadbiran Anwar memperlihatkan kesungguhan politik yang lebih ketara apabila beberapa tuntutan negeri mula diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kalau kita mahu berlaku adil, memang betul setiap Perdana Menteri sebelum ini ada sumbangan dan pendekatan masing-masing.
“Ada yang memulakan rundingan, ada yang membuka ruang perbincangan dan ada yang melaksanakan sebahagian tuntutan.
“Namun jika kita lihat secara menyeluruh, sukar untuk menafikan bahawa era PMX memperlihatkan komitmen yang jauh lebih jelas, agresif dan konsisten terhadap agenda Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, pada Sabtu.
Tambah Hilmi, antara perkembangan paling signifikan yang dicapai ketika ini ialah peningkatan bayaran interim khas kepada Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri.
“Jumlah bayaran interim itu meningkat daripada RM300 juta kepada RM600 juta sebelum dinaikkan kepada RM1.25 bilion dan terkini RM1.5 bilion.
“Setakat ini belum pernah ada Perdana Menteri yang meluluskan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sabah dalam konteks tuntutan 40 peratus hasil negeri,” ujarnya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.






