
PENAMPANG – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, sementara rundingan muktamad mengenai tuntutan hasil negeri sebanyak 40 peratus terus dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Anwar tegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak seharusnya dipertikai, walaupun pelaksanaannya masih memerlukan penyelesaian menerusi mekanisme perundangan dan rundingan antara kedua-dua pihak.
“Saya tekankan sekali lagi, soal 40 peratus walaupun dikatakan keadaan kewangan dan Perkara 112D, bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.
“Persoalan sama ada pelaksanaan penuh tuntutan tersebut dibuat pada Jun atau Disember bukan isu utama ketika ini kerana perkara itu perlu diputuskan melalui rundingan rasmi antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Untuk sekarang, untuk hari ini, interimnya dulu RM600 juta. Jadi untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pengumuman kenaikan sebanyak RM900 juta itu dilihat sebagai isyarat paling jelas setakat ini mengenai kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tuntutan hak kewangan Sabah yang telah lama menjadi isu utama dalam hubungan Persekutuan-Negeri.
“Bagaimanapun, jumlah RM1.5 bilion tersebut hanyalah bayaran interim sementara formula dan kadar muktamad berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri diselesaikan sepenuhnya.
“Status interim ini penting kerana rundingan masih berjalan dan perlu dimuktamadkan secara rasmi sebelum sebarang keputusan akhir dibuat,” jelasnya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mengakui keputusan menambah bayaran kepada Sabah dibuat ketika kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan fiskal yang lebih ketat.
“Kerajaan baru sahaja mengarahkan pengurangan peruntukan bagi kebanyakan kementerian, kecuali sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas termasuk di Sabah.
“Semalam saya umumkan peruntukan bagi semua kementerian harus dipotong. Tidak untuk pendidikan, tidak untuk kesihatan, tidak untuk infrastruktur asas termasuk di Sabah.
“Pelbagai langkah penjimatan sedang dilaksanakan di peringkat Persekutuan termasuk mengehadkan lawatan rasmi ke luar negara, mengurangkan saiz delegasi kerajaan serta mengekang penggunaan kemudahan mewah.
“Kalau rombongannya enam orang jadi dua. Kalau hotelnya sampai Royal Suite diturun jadi Junior Suite,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan kursus dan program kerajaan kini digalakkan dilaksanakan di dewan jabatan kerajaan berbanding hotel lima bintang bagi mengurangkan perbelanjaan operasi.
“Penjimatan tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan tanpa menjejaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan rakyat dan negeri-negeri.
“Kalau kita tidak gunakan kebijaksanaan untuk cermat dan berhemat, negara tidak akan dapat diselamatkan,” katanya lagi.
Pengumuman kenaikan bayaran interim kepada RM1.5 bilion itu menjadi antara pengumuman paling signifikan melibatkan hubungan fiskal Persekutuan-Sabah dalam tempoh kebelakangan ini, khususnya ketika tuntutan hak hasil negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 terus menjadi perhatian rakyat Sabah.

