PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengakui PKR sedang berdepan keadaan yang ‘cedera dan parah’ namun parti itu masih memiliki ruang dan peluang untuk bangkit sekiranya langkah pemulihan dilakukan segera.
Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan berkata, generasi muda yang membesar bersama perjuangan Reformasi menerima teguran itu sebagai satu peringatan bahawa PKR perlu kembali memperkukuhkan peranannya sebagai wadah perjuangan rakyat.
Beliau berpandangan, kenyataan yang dilemparkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ttidak boleh dipandang ringan serta enteng oleh pimpinan dan anggota dalam PKR
“Catatan ‘De Jevu’ YB Hassan Abdul Karim menyentuh sanubari kami generasi yang membesar dengan Reformasi. Kami bersetuju dan akui bahawa KEADILAN kini cedera dan parah.
“Bagaimanapun, ia bukanlah titik noktah, sebaliknya isyarat jelas bahawa jasad parti masih bernyawa dan menuntut rawatan segera agar tidak lumpuh,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Adib berkata, pihaknya menyahut seruan veteran Reformasi dan AMK bersedia membantu saf kepimpinan parti dengan menggerakkan lebih ramai golongan profesional muda termasuk peguam, teknokrat, aktivis dan ilmuwan.

Menurut beliau, gerakan tersebut akan diperkasakan menerusi platform media sosial bagi mendepani pelbagai naratif semasa selain memperluaskan khidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Fokus kami adalah memulihkan roh dan imej parti menjelang PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16), membugarkan semangat anggota agar parti kembali menjadi jurucakap suara rakyat.
“Kami yakin barisan kepimpinan Angkatan Muda dibawah kendalian Saudara Kamil Munim mampu menerajui inisiatif pemulihan ini,” katanya.
Tambahnya, anak muda di dalam PKR juga akan terus mempertahankan kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan parti terus relevan dan diyakini rakyat.
“Bak kata Pak Hassan, “berpantang ajal sebelum mati”; biar apa pun badai, anak muda Keadilan berikrar mempertahankan kemudi YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan tanah air. Mari kita mula dari sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Hassan menerusi catatan bertajuk ‘Deja Vu’ meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini dalam Keadilan selepas pemilihan parti baru-baru ini.
Veteran parti itu menyifatkan parti berkenaan sedang melalui fasa sukar dan mengingatkan kepimpinan supaya tidak mengabaikan nilai asal perjuangan yang menjadi asas penubuhan Keadilan lebih dua dekad lalu.
Catatan tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan ahli dan penyokong parti kerana dilihat mencerminkan kegusaran sebahagian anggota terhadap hala tuju Keadilan menjelang PRU16






