
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menjadikan sebarang pelarasan subsidi petrol RON95 sebagai pilihan terakhir susulan kesan langsung terhadap kos sara hidup dan perbelanjaan isi rumah rakyat.
Penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, kerajaan ketika ini mempunyai beberapa pilihan dasar berkaitan subsidi bahan api, namun pendekatan berhati-hati terus diambil memandangkan sensitiviti harga petrol terhadap rakyat.
Beliau berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan di YouTube semalam.
Mengulas isu ketidaktentuan bekalan bahan api global susulan konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz, Nurhisham berkata, kerajaan sebelum ini sudah mengurangkan kuota petrol bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Menurutnya, langkah itu hanya memberi kesan kepada kira-kira 10 peratus pengguna bahan api di negara ini.
“Kira-kira 90 peratus pengguna bahan api di Malaysia tidak terkesan dengan kuota 200 liter RON95 itu,” katanya.
Beliau berkata, antara pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan ialah menaikkan harga petrol bersubsidi daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 atau RM2.10 seliter, selain mengurangkan lagi kuota bulanan petrol bersubsidi.
Bagaimanapun, katanya, sebarang langkah rasionalisasi subsidi petrol dijangka akan ditangguhkan selama mungkin.
“Petrol adalah isu yang sangat sensitif dan memberi kesan langsung kepada poket rakyat.
“Walaupun ada pelarasan subsidi petrol, ia akan ditolak ke kemudian hari,” katanya.
Nurhisham berkata, meskipun harga minyak global ketika ini dilihat sedikit reda, prospek pasaran minyak dunia masih tidak menentu terutama pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, keadaan itu dipengaruhi tindakan China yang mengurangkan import minyak buat sementara waktu, selain peningkatan pengeluaran oleh negara pengeluar utama yang membantu menstabilkan pasaran ketika ini.
“Namun sampai satu tahap, anda tidak boleh bergantung kepada simpanan selama-lamanya. China akan mula mengimport semula dan negara lain juga perlu membina semula simpanan strategik mereka,” katanya.
Beliau berkata, penganalisis turut menjangkakan Julai dan Ogos menjadi tempoh “sangat tidak selesa” kepada pasaran minyak global berikutan peningkatan semula permintaan serta kekurangan bekalan fizikal.
“Pada ketika ini, pasaran terlalu optimistik,” katanya sambil menambah tiada jaminan harga bahan api akan terus stabil antara Julai hingga September.
Dalam perkembangan berkaitan, Nurhisham berkata, kerajaan turut memperketat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya membabitkan sektor logistik, bagi mengurangkan ketirisan subsidi.
Katanya, kerajaan sebelum ini memperuntukkan subsidi diesel yang terlalu tinggi menerusi program berkenaan sebelum memiliki data yang mencukupi.
“Kami memberi terlalu banyak ketika memulakan SKDS. Kini kami memperketatkannya untuk menjana penjimatan kerana sudah mempunyai data mencukupi untuk memahami keadaan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan memperluaskan Skim Subsidi Diesel (SKTS) meliputi kenderaan jenis jip dan pikap di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, trend penggunaan bahan api di negara ini masih membimbangkan walaupun pelbagai langkah rasionalisasi subsidi dan aturan kerja fleksibel dilaksanakan.
Katanya, data kerajaan menunjukkan penggunaan petrol terus meningkat walaupun dasar bekerja dari rumah diperkenalkan dalam sektor awam.
“Kami masih cuba memahami sebabnya. Mungkin orang berjimat ketika hari bekerja tetapi lebih banyak bergerak pada hujung minggu atau cuti panjang,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan rakyat perlu mengelakkan pembaziran bukan sahaja dalam penggunaan bahan api, malah melibatkan air dan makanan.
“Ini juga menunjukkan rakyat Malaysia perlu mengelakkan pembaziran bukan saja dalam penggunaan bahan api, tetapi juga air dan makanan.
“Bukan sekadar tenaga, tetapi makanan dan air juga isu penting,” katanya.
Nurhisham turut melahirkan kebimbangan terhadap isu pembaziran makanan apabila sejumlah besar sayur-sayuran, ayam dan telur dibuang akibat melepasi tarikh luput walaupun bekalan makanan negara secara keseluruhannya mencukupi.
Katanya, gangguan terhadap bekalan input pertanian seperti baja juga boleh memberi kesan kepada hasil pengeluaran makanan negara.
“Sebagai contoh, apabila bekalan baja terjejas, petani mungkin tidak dapat mengusahakan tanaman dengan baik dan ini mengurangkan keseluruhan hasil pertanian,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ketika ini masih mencukupi, dengan alternatif turut disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya berlaku gangguan bekalan.





