
Oleh: Eveline B. & Nana Mohamad
SIBU – Hadiah kemenangan Kejohanan Olahraga Terbuka Sibu bakal dinaikkan dua kali ganda tahun depan sebagai penghargaan terhadap komitmen Persatuan Olahraga Sibu yang konsisten menganjurkan kejohanan berkenaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif persatuan berkenaan dalam memastikan kejohanan itu berlangsung setiap tahun wajar menjadi contoh kepada persatuan olahraga di bahagian lain di Sarawak.
Beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia meneliti keperluan peruntukan bagi membantu kelancaran penganjuran kejohanan berkenaan.
“Saya sudah memberi jaminan kepada presidennya bahawa untuk tahun depan, jumlah hadiah kemenangan akan digandakan. Dari segi penganjuran pula, beritahu kami berapa banyak peruntukan yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Olahraga Terbuka Sibu Kali Ke-19, 2026, di Stadium Tun Ahmad Zaidi pada Ahad.

Jelasnya, Sibu merupakan satu-satunya daripada 12 bahagian di Sarawak yang secara konsisten menganjurkan kejohanan olahraga terbuka.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak persatuan olahraga di peringkat bahagian mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan seumpama itu bagi mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili Sarawak dan negara.
Beliau turut meminta Majlis Sukan Sarawak (SSC) meneliti kelemahan dalam pembangunan sukan olahraga, selain menggesa Persatuan Olahraga Sarawak mempergiat usaha memajukan sukan berkenaan.
“Saya mahu SSC melihat perkara ini dengan lebih mendalam. Saya juga mahu melihat Persatuan Olahraga Sarawak menjadi lebih aktif,” katanya.



