
KOTA KINABALU – Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) bukan sekadar pertandingan pentas sempena Pesta Kaamatan, tetapi kini menjadi platform penting dalam melahirkan generasi muda Sabah yang berbudaya, berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kuat.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Induk Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalamberkata, RTK memainkan peranan besar dalam memastikan warisan budaya Sabah terus dipelihara oleh generasi muda.

“Golongan belia kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan identiti budaya dalam dunia moden yang semakin pantas berubah.
“Melalui platform seperti RTK, para belia bukan sahaja diberi peluang menyerlahkan bakat, malah dididik memahami sejarah, budaya, adat resam serta nilai masyarakat Sabah,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Randawi Tavantang Kaamatan 2026, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Jabatan Kerjaraya Sabah, Datuk Limus Jury.
Joachim turut memuji komitmen golongan muda yang berjaya menggerakkan keseluruhan penganjuran program walaupun berdepan kekangan masa dan sumber.
“Lebih membanggakan apabila acara berskala negeri itu hanya dikendalikan oleh sembilan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada golongan belia.
“Keadaan itu membuktikan anak muda Sabah memiliki kemampuan, kreativiti dan kepimpinan tinggi untuk mengendalikan program besar,” ujarnya.
Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Randawi Tavantang Kaamatan Negeri Sabah, Casey Jovialatas usaha berterusan memperkukuh platform RTK sehingga menjadi antara acara utama dalam sambutan Pesta Kaamatan Sabah.

“Pelaksanaan manifesto oleh setiap finalis sejak 2019 membuktikan RTK memberi impak langsung kepada pembangunan belia dan komuniti di Sabah.
“RTK bukan sahaja melahirkan peserta pertandingan, malah membentuk duta budaya dan pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada masyarakat.
“Saya berharap lebih banyak daerah di Sabah akan menganjurkan RTK di peringkat daerah mulai tahun hadapan bagi membuka peluang lebih luas kepada golongan belia untuk terlibat dalam aktiviti kepimpinan dan pemerkasaan budaya,” kongsinya.
Pada masa sama, Joachim mengingatkan 50 finalis pertandingan agar menggunakan platform itu untuk terus menjadi contoh teladan serta pemimpin masa depan yang akan mengangkat martabat budaya Sabah.





