
SHAH ALAM – Selangor bakal memiliki sebuah hospital awam baharu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang pembinaan Hospital Petaling Jaya berkonsepkan vertikal dengan kapasiti 500 katil.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep vertikal itu sebelum ini telah dilaksanakan di Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta kos pembinaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik pemakluman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung persetujuan terhadap lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan hospital berkenaan.
“Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya sudah digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang.
“Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk kini melebihi 800,000 orang dan mereka ketika ini banyak bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly dilaporkan berkata, sebuah kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar, X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan hospital awam itu bagi memenuhi keperluan penduduk di Petaling Jaya, Subang dan Puchong.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Hospital Sungai Buloh kini mempunyai kapasiti 1,037 katil, diikuti Hospital Shah Alam dengan 490 katil serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebanyak 946 katil.
“Hospital Cyberjaya mempunyai kapasiti 288 katil manakala Hospital Tanjong Karang pula 150 katil dan kedua-duanya dibina hasil kerjasama KKM bersama kerajaan negeri dari segi urusan tanah.
“Selain itu, Hospital Kapar berkapasiti 312 katil yang dijadual siap hujung tahun ini juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Shah Alam,” katanya.
Menurut beliau, lokasi yang dipersetujui KKM itu amat sesuai dengan keperluan penduduk setempat terutama dari aspek akses, kapasiti, kos tanah dan kedudukannya yang berhampiran kawasan tumpuan penduduk.
Amirudin berkata, lawatan tapak oleh KKM akan dilaksanakan minggu ini dengan penyertaan beberapa agensi dan pegawai kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta Pejabat Daerah Petaling.
Katanya, kerajaan negeri komited memudah cara dan mempercepat urusan berkaitan tanah bagi memastikan projek pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.





