
KOTA KINABALU – Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 terus mencuri perhatian apabila sambutan tahun ini bukan sahaja meriah di peringkat negeri, malah semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Menurut Setiausaha Main Kaamatan Celebration Committee (MICC), Sairah Indan, sambutan bertemakan ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ itu kini memasuki kemuncak bermula 27 hingga 31 Mei dengan pelbagai acara tradisi dan kebudayaan di seluruh Sabah.
“Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sabah, malah semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai salah satu festival budaya utama di Malaysia.

“Antara pengisian utama termasuk pertandingan akhir Randawi Tavantang, malam Sodop Unduk Ngadau serta Kaamatan International Week yang mengetengahkan keunikan warisan makanan etnik tempatan.
“Majlis perasmian pada 30 Mei akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia di Hongkod Koisaan, manakala majlis penutupan pada 31 Mei akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan acara kemuncak pertandingan Unduk Ngadau,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, kehadiran pengunjung yang tinggi termasuk pelancong luar negara, akan mengukuhkan Kaamatan sebagai platform perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Sehubungan itu, Sairah berharap sambutan Kaamatan tahun ini akan terus menjadi medium memperkukuh perpaduan rakyat serta memelihara warisan budaya etnik Sabah agar kekal relevan dan dihargai oleh generasi akan datang.




