KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agensi yang menyediakan bantuan dan pembiayaan kepada peniaga kecil supaya lebih proaktif turun padang bagi memastikan golongan terbabit mendapat maklumat tepat mengenai kemudahan ditawarkan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, masih ramai usahawan mikro dan peniaga kecil tidak mengetahui kewujudan skim bantuan serta pinjaman yang sebenarnya mudah diakses.
Beliau berkata, keadaan itu dikenal pasti menerusi laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati pelbagai kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
“Justeru, dua minggu yang lalu saya panggil semua agensi mikro-kredit ke pejabat dan bincang dengan agensi berkenaan dan putuskan kita turun..cuba kita turun dan beritahu manfaatnya dan jangan minta mereka datang ke pejabat.
“Jadi di sini umpamanya kita lihat di Taman Melawati, ratusan syarikat kecil yang memulakan perniagaan tapi kadangkala perlu RM10,000 atau RM20,000 pinjaman. Mereka beritahu kalau dapat pinjaman RM10,000 pun syukur tingginya.
“Saya juga tanya adakah masalah, ada tak pinjaman, boleh tak pergi buat pinjaman, ada tak bayaran balik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama beberapa agensi kerajaan dan institusi kewangan di Pasar Tani Taman Melawati, hari ini.
Antara agensi yang terbabit ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Rakyat dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, golongan peniaga kecil wajar terus diberi perhatian kerana jumlah mereka yang besar selain memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Beliau turut menyifatkan peniaga kecil sebagai kumpulan yang berdisiplin dalam pembayaran balik pinjaman berdasarkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah.
“Kadar bayaran macam Amanah Ikhtiar itu, kalau wanita hampir 100 peratus, kalau lelaki 95 peratus, okeylah. Maknanya mereka bayar balik.
“Jadi masalah pinjaman ini mudah bagi kalangan pendapatan rendah ya. Kalau NPL untuk orang-orang kaya itu lain.
“Jadi sebab itu saya datang turun dan minta mereka sekali sekala turun dan beritahu kemudahan. Saya ucap terima kasih kepada agensi kerana mereka turun sendiri dengan pegawai mereka bagi penerangan untuk memudahkan pinjaman. Itu tujuan dia.
“Maknanya kita mesti turun, sampaikan peluang itu kepada rakyat dan mereka lihat sendiri. Ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan wang (kadar) perkhidmatan yang rendah sekitar empat peratus sahaja,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dalam kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan menjadi titik permulaan kepada pendekatan lebih menyeluruh dalam membantu penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro yang berdepan kekangan modal.
Menurut kementerian itu, lebih RM15 bilion pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sepanjang tahun ini.
Kerajaan MADANI sebelum ini turut mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro.
Kemudahan berkenaan menawarkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan tertentu serendah empat peratus setahun.
MoF berkata, inisiatif itu melengkapkan pelbagai skim pembiayaan sedia ada termasuk Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia dan pembiayaan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).




