KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegur sikap segelintir ahli politik yang disifatkannya gemar mengeluh dan merungut berbanding rakyat biasa yang terus berusaha meneruskan kehidupan.
Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya ketika turun padang bertemu rakyat, golongan peniaga kecil dilihat lebih cekal dan tidak terlalu banyak merungut walaupun berdepan cabaran ekonomi.
“Sebenarnya peniaga kalau peringkat rendah ini keluhan dia sangat minimal…yang besar-besar itu yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir ini.
“Alhamdulillah tiada (peniaga kecil) yang maknanya hendak berleter dan asyik merengek sepanjang masa… itu hanya orang politik yang tertentu saja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai perkembangan politik semasa.
“Tak ada politik, tak ada hari ini, tiada politik. Politik makan nasi dagang,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan peniaga kecil ialah harga barang keperluan yang masih sedikit tinggi.
Namun, katanya, bantuan daripada agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu mengurangkan beban pengguna menerusi penawaran harga lebih berpatutan.
Menurut beliau, terdapat juga usahawan kecil yang masih kurang mengetahui pelbagai kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau turun padang bersama beberapa agensi termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Rakyat dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi penerangan secara terus kepada peniaga kecil.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati ramai dalam kalangan kumpulan sasar tidak mengetahui akses pembiayaan yang tersedia.
“Justeru, dua minggu yang lalu saya panggil semua agensi mikro-kredit ke pejabat dan bincang dengan agensi berkenaan dan putuskan kita turun… cuba kita turun dan beritahu manfaatnya dan jangan minta mereka datang ke pejabat.
“Jadi di sini umpamanya kita lihat di Taman Melawati, ratusan syarikat kecil yang memulakan perniagaan tapi kadangkala perlu RM10,000 atau RM20,000 pinjaman. Mereka beritahu kalau dapat pinjaman RM10,000 pun syukur tingginya.
“Saya juga tanya adakah masalah, ada tak pinjaman, boleh tak pergi buat pinjaman, ada tak bayaran balik,” katanya.
Anwar berkata, golongan peniaga kecil perlu terus diberi perhatian kerana jumlah mereka yang besar serta peranan penting dimainkan dalam ekonomi tempatan.
Katanya, kumpulan itu juga menunjukkan disiplin tinggi dalam pembayaran balik pinjaman berdasarkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah.
“Kadar bayaran macam Amanah Ikhtiar itu, kalau wanita hampir 100 peratus, kalau lelaki 95 peratus, okeylah. Maknanya mereka bayar balik.
“Jadi masalah pinjaman ini mudah bagi kalangan pendapatan rendah ya. Kalau NPL untuk orang-orang kaya itu lain.
“Jadi sebab itu saya datang turun dan minta mereka sekali sekala turun dan beritahu kemudahan. Saya ucap terima kasih kepada agensi kerana mereka turun sendiri dengan pegawai mereka bagi penerangan untuk memudahkan pinjaman. Ini tujuan dia.
“Maknanya kita mesti turun, sampaikan peluang itu kepada rakyat dan mereka lihat sendiri. Ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan wang (kadar) perkhidmatan yang rendah sekitar empat peratus sahaja,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dalam kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha memperluas akses pembiayaan kepada usahawan mikro dan penjaja kecil.
Menurut MoF, lebih RM15 bilion pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.
Kerajaan MADANI sebelum ini turut mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro.
Kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar tertentu serendah empat peratus setahun.
MoF berkata, kemudahan berkenaan melengkapi skim pembiayaan PMKS sedia ada termasuk Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta pembiayaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).




