89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 97 99 97 114 97 32 87 97 99 97 110 97 32 72 97 114 109 111 110 105 32 77 65 68 65 78 73 32 115 101 109 112 101 110 97 32 83 97 109 98 117 116 97 110 32 72 97 114 105 32 87 101 115 97 107 32 100 105 32 75 117 97 108 97 32 76 117 109 112 117 114 46 32 50 51 32 77 101 105 32 50 48 50 54 46 32 83 72 65 72 78 65 90 32 70 65 90 76
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya mempertahankan perpaduan negara dengan menolak politik berasaskan kebencian, perkauman dan permusuhan antara agama.
Perdana Menteri berkata, kekuatan Malaysia sejak sekian lama terletak pada kemampuan rakyat pelbagai kaum dan agama hidup dalam suasana aman serta saling menghormati.
Beliau berkata, semangat itu turut menjadi asas kepada gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat-menghormati dan penerimaan terhadap kepelbagaian masyarakat.
“Kalau ada pun perbezaan, ia adalah perbezaan untuk memberi makna dan kefahaman yang lebih baik.
“Nilai seperti belas ihsan, kasih sayang dan hormat sesama manusia semakin terhakis di banyak negara akibat kecenderungan politik yang hanya mementingkan kepentingan praktikal serta kuasa.
“Namun, dalam semua agama termasuk Islam dan Buddha mengajar nilai keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, namun mesej itu sering tenggelam akibat sentimen kebencian yang dimainkan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Wacana Harmoni MADANI Sempena Sambutan Hari Wesak.
Turut hadir, Anthony Loke dan Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Anwar berkata, terdapat pihak tertentu yang sengaja memainkan sentimen kaum dan agama bagi menimbulkan ketakutan serta perpecahan dalam kalangan rakyat walaupun mereka hanya mewakili kelompok kecil.
Katanya, rakyat sederhana yang cintakan keamanan tidak boleh terus berdiam diri dalam mempertahankan keharmonian negara.
“Majoriti rakyat Malaysia yang sederhana dan cintakan keamanan perlu tampil bersuara mempertahankan perpaduan negara daripada dikuasai kelompok ekstrem.
“Sudah sampai masanya majoriti rakyat bersuara dari hati nurani mereka untuk menyelamatkan negara dan memajukan semua rakyat bersama,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus membela nasib Bumiputera yang memerlukan, namun bantuan kepada rakyat miskin tidak seharusnya dibatasi oleh faktor kaum.
“Selepas hampir 70 tahun merdeka, pendekatan membantu rakyat perlu berubah daripada berasaskan pemisahan kaum kepada semangat ihsan dan kebersamaan sebagai satu keluarga besar Malaysia.
“Kerajaan ketika ini bekerja keras menangani cabaran ekonomi termasuk kesan perang global, meningkatkan pelaburan, memperkukuh pendidikan serta menjana peluang pekerjaan demi kesejahteraan rakyat.
“Malaysia sudah membuktikan negara berbilang kaum dan agama mampu terus kekal aman dan stabil sejak merdeka hasil komitmen pemimpin serta rakyat yang memilih perpaduan berbanding perpecahan. Itulah yang menjadikan Malaysia unik,” katanya.


