KUANTAN – Seramai 45 peneroka FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, menerima kotak makanan di bawah inisiatif Bakti Negeri (BN) Pahang, petang semalam.
Pengagihan itu dilakukan di pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA berkenaan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman.
Norsarfinaz berkata, pemilihan penerima dibuat berdasarkan senarai disediakan pihak JKKR dibantu pemimpin setempat.
“Ia dilakukan dengan teliti bagi memastikan mereka yang layak menerima manfaat daripada inisiatif BN Pahang ini.
“Selain warga peneroka, bantuan sama turut diagihkan kepada penduduk kampung tradisional dalam kawasan DUN Pulau Tawar,” katanya.
Majlis ringkas penyerahan BN Pahang itu dihadiri Pengurus FELDA Jengka 24, Saiful Mohd Puzi dan Pengerusi JKKR FELDA terbabit, Razak Daud.
Sementara itu, Razak memaklumkan proses pengagihan inisiatif itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia adalah bertujuan memastikan tidak ada penduduk yang layak menerima daripada tercicir.
“Peruntukan untuk BN Pahang ini dah diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ia akan diteruskan setiap minggu, sehingga konflik di Asia Barat reda,” jelasnya.






