
LIMBANG – Seorang lelaki yang dikehendaki berhubung kes kematian di Kampung Junjongan, Brunei berjaya ditahan di sebuah hotel di Limbang awal pagi hari ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek dikenali sebagai Bustari berjaya ditahan pada jam 12.15 pagi hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa Brunei dan Malaysia.
Menurut Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Parum niot, kejayaan mengesan serta menahan suspek adalah hasil maklumat yang disalurkan orang ramai selain koordinasi melibatkan Unit Siasatan Khas (USK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PPDB bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerjasama dan komitmen semua pihak berjaya membawa kepada penahanan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkenaan,” ujarnya.
PPDB turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada IPD Limbang dan PDRM atas bantuan serta kerjasama dalam usaha mengesan dan menahan suspek terbabit. Kes kini dalam tindakan lanjut pihak berkuasa berkaitan.






