PUTRAJAYA – Malaysia dan India akan terus memperkukuh hubungan dua hala bagi memastikan manfaat bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran yang lebih inklusif dapat dicapai oleh kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini tidak lama lagi.
Menurut beliau, pertemuan itu turut menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan India yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif.
Katanya, hubungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang strategik.
Kerjasama itu meliputi sektor perdagangan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
“Saya turut menyentuh perkembangan positif perdagangan dua hala yang mencecah AS$18.59 bilion (RM73.86 bilion) pada 2025, sekali gus mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia-India Digital Council (MIDC) serta MY-India AI Conclave di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan kesungguhan kedua-dua negara untuk terus meneroka peluang baharu dalam sektor teknologi masa depan dan ekonomi digital, sekali gus memperkukuh hubungan strategik yang telah terjalin sekian lama.







