
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, draf pindaan berkenaan telah dimuktamadkan dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan dalam mesyuarat kali keenam yang berlangsung hari ini.
“Kita telah membuat satu draf pindaan Perlembagaan yang saya lihat mungkin akan mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen, daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang.
“Saya berharap apabila kita bawa pindaan ini, ia akan menjadi satu pindaan yang bersejarah kepada negara kita iaitu sejarah kewujudan peguam negara dari kemerdekaan sampai sekarang, kita wujudkan pemisahan (peranan) antara peguam negara dengan pendakwa raya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pindaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh sistem perundangan negara.
Menurutnya, pengasingan fungsi antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya penting bagi memastikan kedua-dua institusi itu dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing secara lebih bebas dan berkesan.
Azalina turut berharap pindaan itu menerima sokongan semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang kerana ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhan.
“Kita mahu memaklumkan kepada orang ramai bahawa inilah sebenarnya maksud reformasi institusi. Dengan mengambil kira dan memastikan bahawa fungsi AG-PP (Peguam Negara dan Pendakwa Raya) di negara kita dipisahkan.
“Saya berharap perubahan sejarah ini akan menjadi duluan baharu, satu set duluan baharu untuk negara kita untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen termasuk Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Turut hadir wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Peguam Negara.
Persidangan Parlimen dijadual berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun ini.
Pada 3 Mac lalu, Dewan Rakyat bersetuju supaya RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti pindaan itu sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dipengerusikan Azalina dan dianggotai 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan serta pembangkang.




