
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen disaran menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing sehingga Parlimen dibubarkan dan tidak mengambil keputusan mengosongkan kerusi ketika penggal masih berbaki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab terhadap pengundi yang telah memberikan mandat kepada mereka pada pilihan raya.
Menurut beliau, pengundi mengharapkan wakil rakyat terus berada di kawasan bagi membantu menyelesaikan masalah serta membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.
“Kasihanlah pada rakyat, pengundi di (Parlimen) Pandan. Sebab pada saya, mereka (rakyat) mengharapkan wakil rakyat itu ada. Paling tidak pun bolehlah dia (rakyat) nak ketuk pintu kalau tak puas hati ke, tak dapat bantuan ke.
“Tapi mungkin dia (Ahli Parlimen itu) ada sebab-sebab tertentu. Tapi saya harap dalam parti BN (Barisan Nasional), sesiapa yang ada niat yang sama, bagi selesaikan khidmat kepada rakyat dululah.
“Maknanya selagi Parlimen tak dibubar, dalam tahun perkhidmatan itu, lima tahun, selesaikanlah. Lepas itu kalau mahu bertanding, masuk parti lain ke, terpulanglah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 anjuran Asian International Arbitration Centre di Auditorium AIAC, di sini, hari ini.
Azalina mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum tamat penggal.
Beliau berkata, keputusan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa semangat undang-undang anti lompat parti tidak dihormati sepenuhnya.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan pandangan pengundi perlu diambil kira sebelum seseorang wakil rakyat membuat keputusan untuk melepaskan kerusi disandang.
Katanya, rakyat yang keluar mengundi mahu wakil rakyat yang dipilih menamatkan tempoh khidmat sehingga akhir penggal.
“Ahli politik, Ahli Parlimen, dia boleh ikut budi bicara dia sendiri, tindakan dia sendiri. Tapi yang penting rakyat yang mengundi. Rakyat macam saya di (Parlimen) Pengerang, mungkin mereka mahukan wakil rakyat habiskan tempoh (penggal).
“Tapi mungkin sebagai pemimpin, mereka ada pandangan mereka sendiri. Saya nak komen-komen lebih pun tak boleh. Tapi kadang takut rakyat marah dengan mereka sudah penat-penat pergi mengundi,” katanya.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan menghantar notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Parlimen ke-15 kini masih berbaki kira-kira 18 bulan sebelum terbubar secara automatik.




