Peluang terakhir BN: PH Johor sedia tanding semua kerusi jika rundingan gagal

PULAI – Pakatan Harapan (PH) Johor memberi amaran jelas kepada Barisan Nasional (BN) bahawa peluang untuk membentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini berada di penghujungnya, susulan kegagalan beberapa siri rundingan dan persefahaman politik yang didakwa ditolak oleh pimpinan BN negeri.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, sejak awal lagi PH telah menunjukkan komitmen untuk mewujudkan kestabilan politik di Johor melalui cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan Negeri seperti model yang dilaksanakan di Melaka.

Menurut beliau, Johor dan Melaka mempunyai latar politik yang hampir sama susulan kedua-dua negeri mengadakan pilihan raya lebih awal sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Namun katanya, usaha tersebut tidak disambut baik apabila pimpinan BN Johor memilih untuk menolak ruang kerjasama yang dicadangkan.

“Cadangan tersebut telah ditolak oleh pimpinan Barisan Nasional Johor yang memilih untuk menutup ruang persefahaman politik demi kepentingan sempit mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengimbas kerjasama yang pernah diberikan PH kepada BN di Negeri Sembilan dengan membuka ruang penyertaan dalam kerajaan negeri, namun mendakwa kepercayaan itu akhirnya dikhianati apabila timbul usaha membawa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar negeri berkenaan.

“Tindakan itu memperlihatkan bahawa semangat kerjasama dan kestabilan politik yang cuba dibina telah dicemari oleh percaturan politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Suhaizan turut menegaskan bahawa banyak pembangunan besar yang sedang dinikmati Johor hari ini sebenarnya hasil dukungan Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan PH.

Antara projek yang disebut termasuk projek ETS, RTS, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan pusat data dan pelbagai inisiatif ekonomi strategik lain yang menurutnya menjadi pemangkin utama pertumbuhan negeri itu.

Bagaimanapun beliau mendakwa kerajaan negeri cuba menggambarkan kejayaan tersebut seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada usaha pentadbiran negeri tanpa mengiktiraf sumbangan besar kerajaan pusat.

“Amat malang apabila Kerajaan Negeri Johor cuba menggambarkan kejayaan dan pembangunan tersebut seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada usaha kerajaan negeri semata-mata tanpa mengiktiraf peranan besar Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Johor ke-16, beliau berkata, PH juga telah membuka ruang rundingan kerusi bagi memastikan pertandingan lebih tersusun dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Namun katanya, keputusan BN untuk bergerak solo dan berhasrat bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menunjukkan sikap enggan membina kekuatan bersama demi kestabilan politik negeri.

Kemuncak ketegangan itu menurut beliau dapat dilihat ketika Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre pada 17 Mei lalu apabila Presiden PH yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberikan ‘peluang terakhir’ kepada BN untuk kembali ke meja rundingan.

Suhaizan berkata, sekiranya BN terus menolak semangat kerjasama dan memilih ‘jalan keangkuhan politik’, maka PH bersedia untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di seluruh negara.

Malah katanya, perkembangan itu juga boleh membuka kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN diadakan secara serentak bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Sekarang bola berada di kaki Barisan Nasional. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya.

Related Posts

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

KOTA KINABALU – Program Pencarian Bakat Belia MADANI Sabah (BABSAR) 2026 menjadi platform penting untuk mencungkil dan menggilap bakat seni generasi muda di Borneo. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

DARO – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Daro menyantuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi 2026 dengan kerjasama 16 institusi bagi memperkukuh kebajikan golongan memerlukan di daerah ini. Program…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24