JOHOR BAHRU – Suasana Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada bertukar gamat apabila Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu melontarkan penegasan tegas bahawa sikap setia dan bertolak ansur gabungan itu tidak boleh dianggap sebagai kelemahan.
Dalam ucapan penuh semangat di hadapan kira-kira 8,000 perwakilan, beliau berkali-kali mengingatkan bahawa PH terus bertahan bukan kerana perjalanan politiknya mudah, sebaliknya kerana rakyat masih menyimpan keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan sejak sekian lama.
Menurut beliau, gabungan itu telah melalui pelbagai episod sukar termasuk fitnah, penghinaan serta percubaan melemahkan semangat perjuangan, namun tetap berdiri teguh menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau berkata, pelbagai gelaran dan cemuhan pernah dilemparkan terhadap pimpinan PH, termasuk sindiran yang meragui masa depan perjuangan reformasi, namun semua itu tidak mematahkan keyakinan anggota parti dan penyokong akar umbi.

“Kita pernah diketawakan, pernah diejek dengan gelaran ‘PM tepi’. Kita juga pernah diramal bahawa perjuangan reformasi ini akan berakhir. Tetapi hari ini kita masih berdiri teguh di sini bukan semata-mata kerana kita kuat, tetapi kerana rakyat masih menaruh harapan kepada PH,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor International Convention Centre.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa budaya politik PH dibina atas asas kesetiaan terhadap rakan perjuangan dan komitmen terhadap janji yang dibuat kepada rakyat.
Katanya, PH tidak pernah memilih jalan pengkhianatan demi keuntungan politik jangka pendek, malah sentiasa berusaha mempertahankan hubungan kerjasama dalam gabungan walaupun berdepan tekanan politik yang mencabar.
Beliau turut menepis tanggapan bahawa PH mahu bergerak secara bersendirian dalam landskap politik negara, sambil menegaskan bahawa semangat kerjasama tetap menjadi prinsip utama gabungan itu.
“Genetik PH ialah apabila kita berkawan, kita setia pada janji dan persahabatan. Kita tidak tahu untuk berbuat khianat. Namun ingat, kita baik tetapi kita tidak bodoh!” tegasnya yang disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sepang tersebut berkata PH memilih pendekatan politik yang lebih matang dan bertanggungjawab ketika dunia politik hari ini semakin dipenuhi budaya kebencian serta penyebaran fitnah di media sosial.
Menurutnya, gabungan itu tidak membina pengaruh dengan memainkan sentimen perpecahan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat melalui kestabilan politik, perpaduan dan kerjasama rentas kaum.
Beliau berkata politik berasaskan kebencian mungkin mampu meraih kemenangan sementara, namun politik membina negara akan menentukan masa depan Malaysia dalam jangka panjang.
“Kita tidak menunggang kemarahan rakyat. Kita bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat. Politik kebencian mungkin menang sehari, tetapi politik membina negara akan menang untuk masa depan,” katanya lagi.
Dalam ucapan sama, Aiman Athirah turut merakamkan penghargaan kepada golongan wanita yang dianggap sebagai tulang belakang utama perjuangan PH sejak era awal reformasi.
Katanya, ramai wanita bekerja tanpa jawatan, elaun mahupun penghargaan, namun tetap setia mempertahankan perjuangan parti di pelbagai medan termasuk media sosial dan gerak kerja akar umbi kerana percaya perjuangan reformasi lebih besar daripada kepentingan individu.







