
PELAPOR Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin, Francesca Albanese mendedahkan, bahawa Israel menggunakan pelbagai bentuk penyeksaan secara meluas terhadap tahanan Palestin di pusat tahanan serta penduduk di wilayah yang diduduki, lapor Anadolu.
Kenyataan keras itu menyusul selepas siasatan wartawan Nicholas Kristof yang diterbitkan oleh akhbar The New York Times (NYT), mengesahkan bahawa keganasan seksual dan penyeksaan fizikal terhadap tahanan Palestin kini menjadi amalan sistematis di bawah kawalan pihak berkuasa Israel.
Albanese turut berkongsi laporan bertajuk ‘Torture and Genocide’ (Penyeksaan dan Genosid) yang disediakan khas untuk Sesi ke-61 Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Laporan komprehensif itu meneliti situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki sejak tahun 1967, dengan tumpuan khusus terhadap layanan rejim Zionis pasca-7 Oktober 2023.
Menurut laporan berkenaan, amalan penyeksaan telah sekian lama menjadi instrumen utama Israel dalam usaha merampas hak milik dan tanah warga Palestin.
“Sejak Oktober 2023, skala penyeksaan yang digunakan oleh Israel mencerminkan unsur balas dendam kolektif serta niat memusnahkan. Peningkatan mendadak kes penyeksaan di dalam fasiliti tahanan rejim membuktikan adanya satu dasar yang diselaraskan secara rasmi,” memetik laporan itu.
Dokumen terbabit turut memetik tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang dilaporkan mengarahkan agar tahanan Palestin yang dilabel sebagai pengganas dikurung dalam gari di dalam sel gelap, selain dipaksa mendengar lagu kebangsaan Israel secara berterusan.
Albanese menegaskan, takrifan penyeksaan oleh rejim Israel tidak hanya terhad di dalam tembok penjara atau bilik soal siasat semata-mata.
Warga Palestin di luar penjara turut menjadi mangsa penyeksaan secara tidak langsung melalui perpindahan paksa berskala besar, sekatan ketat bantuan kemanusiaan dan bekalan makanan, keganasan ketenteraan, serta serangan berterusan oleh pendatang haram Yahudi.
Pihak berkuasa Israel didakwa sengaja mewujudkan persekitaran yang ekstrem bagi mematahkan semangat penentangan, maruah, serta keazaman rakyat Palestin di seluruh wilayah yang diduduki.
Laporan PBB itu turut berhujah bahawa penyeksaan secara sistematis terhadap seluruh populasi bukan sahaja berfungsi sebagai alat penguasaan, malah boleh dijadikan bukti kukuh wujudnya niat melakukan genosid di bawah Konvensyen Genosid.
Terdahulu, siasatan NYT yang diterbitkan pada 11 Mei lalu mendedahkan testimoni mengenai tindakan tentera, pengawal penjara, dan pendatang haram Israel yang melakukan jenayah rogol, gangguan seksual terhadap kanak-kanak, penyeksaan fizikal, serta layanan buruk yang menghina maruah kemanusiaan terhadap tahanan Palestin.
Susulan pendedahan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Khamis menyatakan bahawa Tel Aviv merancang untuk mengemukakan saman mahkamah terhadap syarikat akhbar AS berkenaan berhubung dakwaan yang dibangkitkan.






