Pahang tidak terima bayaran untuk kawasan diwarta Taman Negara

KUANTAN – Kerajaan Pusat melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak membuat sebarang bayaran secara langsung atau dalam bentuk pajakan tanah kepada kerajaan Pahang bagi kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pewartaan kawasan tersebut adalah bagi tujuan pemuliharaan khazanah alam semula jadi negara, perlindungan biodiversiti serta pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar selaras dengan dasar dan peruntukan berkuat kuasa.

Menurutnya, walaupun tiada bayaran pajakan dibuat, Kerajaan Pusat tetap menyalurkan peruntukan besar dalam bentuk pengurusan dan pembangunan bagi menyokong kelestarian kawasan berkenaan.

“Antara skop perbelanjaan yang terlibat termasuk pembiayaan operasi pengurusan, penyelenggaraan dan penaiktarafan fasiliti pelancongan, pengurusan kawasan rekreasi dan ekopelancongan.

“Seterusnya, penguatkuasaan dan kawalan biodiversiti, pelaksanaan program pemuliharaan habitat semula jadi serta lain- lain keperluan berkaitan kawasan Taman Negara,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan perkara itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ada bertanyakan tentang berapakah bayaran yang dibuat Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri terhadap tanah-tanah diwartakan sebagai Taman Negara dan Taman Negeri.

Wan Rosdy memberitahu, Kerajaan Negeri Pahang turut menerima peruntukan di bawah inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang disalurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi menyokong usaha pemuliharaan kawasan perlindungan dan pengurusan biodiversiti secara mampan.

Jelasnya, ia sebahagian peruntukan EFT tersebut digunakan antaranya untuk kerja-kerja baik pulih fasiliti, konservasi, pelaksanaan pengukuhan program pengurusan kawasan perlindungan serta pemeliharaan biodiversiti di kawasan Taman Negara Pahang.

Beliau menambah, bagi tempoh tahun 2023 hingga 2026, jumlah keseluruhan dana EFT yang diterima Taman Negara Pahang dianggarkan sebanyak RM5 juta.

“Bagi tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan merangkumi beberapa projek termasuk menaik taraf fasiliti penyelidikan di Sungai Relau dan Kuala Tahan, pemerkasaan Enakmen Taman Negara (Pahang) 1939 serta kajian pengumpulan maklumat iktiologi.

“Secara keseluruhannya, bagi tempoh 2020 hingga 2025, Kerajaan Persekutuan menyalurkan kira-kira RM30.5 juta bagi tujuan operasi dan pentadbiran Taman Negara di Pahang, manakala RM9.57 juta lagi melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelancongan serta konservasi,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Pusat dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan Taman Negara Pahang dilaksanakan secara berkesan dan mampan.

Menyentuh perancangan kerajaan negeri dalam menangani masalah ekonomi pada ketika ini, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran ekonomi semasa termasuk kesan tekanan ekonomi global.

Menurutnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk Dasar Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam negeri bagi mengurangkan kos bahan api dan penggunaan tenaga di pejabat kerajaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga melaksanakan Program Bakti Negeri Pahang melalui agihan bantuan bakul makanan kepada golongan yang terkesan serta memerlukan.

“Kita turut menyalurkan Baucar Bantuan Negeri Pahang bernilai RM50 kepada golongan sasar bagi pembelian barangan keperluan asas dengan kerjasama pasar raya di seluruh negeri.

“Selain itu, kita menangguhkan sebarang kenaikan kadar serta pengenalan caj baharu di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan negeri sedang memuktamadkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Pahang 2030 sebagai hala tuju pembangunan ekonomi jangka panjang yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.

“Pelan ini akan memperkukuh daya saing ekonomi negeri melalui penerokaan sektor berimpak tinggi, memperluas peluang pekerjaan serta menarik pelaburan berkualiti,” katanya.

Related Posts

TPM Fadillah zahir takziah nahas helikopter di Long Lellang

KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita atas tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang berlaku berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak. Insiden…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Yang di-Pertua Negeri Sarawak zahir dukacita nahas helikopter perkhidmatan doktor udara

KUCHING – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan rasa amat dukacita berhubung tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang mengorbankan lima mangsa di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PH pertahan prinsip, pesalah rasuah perlu jalani hukuman penuh

PH pertahan prinsip, pesalah rasuah perlu jalani hukuman penuh

TPM Fadillah zahir takziah nahas helikopter di Long Lellang

TPM Fadillah zahir takziah nahas helikopter di Long Lellang

Yang di-Pertua Negeri Sarawak zahir dukacita nahas helikopter perkhidmatan doktor udara

Yang di-Pertua Negeri Sarawak zahir dukacita nahas helikopter perkhidmatan doktor udara

Abdul Azeez direman sebelum hadapi pertuduhan rasuah

Abdul Azeez direman sebelum hadapi pertuduhan rasuah

Wawasan mula tembusi kubu Bersatu di Perlis

Wawasan mula tembusi kubu Bersatu di Perlis

2 maut kereta terbabas langgar pokok

2 maut kereta terbabas langgar pokok