
KULIM – Seorang penganggur lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran yang didakwa melukakan perasaan penganut agama Islam di media sosial, Januari lalu.
Tertuduh, Tsen Vui Kiong, 51, dari Sabah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. Dia membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melukakan perasaan penganut agama dengan memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengandungi perkataan dan gambar kartun menggunakan profil Jimmy Tsen kira-kira pukul 10.03 pagi, 16 Januari lalu.
Hantaran itu kemudian dibaca seorang lelaki berusia 44 tahun di Taman Selasih, Kulim di sini kira-kira pukul 8 malam, 6 Februari lalu..
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hairul Alif Hairul Azam.






