
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempergiat langkah persediaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan harga makanan susulan krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos pengangkutan dan pengeluaran sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, situasi semasa dunia dijangka memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan negara termasuk industri penternakan dan perikanan.
Beliau berkata, peningkatan kos bahan mentah makanan ternakan seperti jagung dan soya antara perkara yang sedang dipantau rapi kerajaan.
“Kita tak boleh rasa selesa selepas mengetahui masalah ini, terutama sekali bila berlaku kenaikan harga bahan makanan ayam khasnya jagung ternakan dan juga soya
“Maka akan berlaku perubahan harga dan sebagainya. Kita akan pantau dengan rapi kalau ada perubahan-perubahan itu,” katanya selepas majlis pelancaran Agro Penjaja-i di Wisma Tani, hari ini.
Menurutnya, Malaysia masih bergantung kepada import bijirin makanan ternakan dari beberapa negara luar termasuk Brazil dan Argentina, manakala bekalan beras pula diperoleh dari Pakistan, India dan Bangladesh
Beliau berkata, meskipun tiada gangguan penghantaran direkodkan ketika ini, kenaikan harga minyak dunia tetap meningkatkan kos logistik dan bahan pertanian.
“Tidak ada gangguan, cuma apabila berlaku kenaikan harga minyak, kos penghantaran akan meningkat. Serupa juga dengan baja, apabila berlaku krisis tenaga ia akan babitkan semua,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut memberi perhatian kepada pembangunan sektor akuakultur sebagai usaha menjamin bekalan protein negara sekiranya hasil tangkapan laut berkurangan.
Katanya, peningkatan kos operasi nelayan boleh memberi kesan kepada pengeluaran hasil laut dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Ketika ini saya dan kementerian memberi tumpuan kepada bidang akuakultur supaya dalam masa tiga empat bulan lagi pengeluaran ikan ini akan menampung protein kalaulah berlaku kekurangan tangkapan laut,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas negara masih berada pada tahap stabil termasuk bekalan beras yang mencukupi sehingga akhir tahun ini.
Mohamad turut memaklumkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang mencari kaedah terbaik bagi mengurangkan kerugian susulan lambakan sayur di Cameron Highlands.






