
KOTA KINABALU – Isu tular berkaitan struktur projek Pan Borneo di Sepitang yang digelar ‘Stonehenge’ oleh orang awam berpunca daripada pertikaian teknikal dan Variation Order (VO), kata Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Baharuhom K.K. Sogon berkata, isu tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Problem Solving Governance (PSG) minggu lalu dan akan dibawa ke peringkat Kementerian Kerja Raya untuk tindakan lanjut.
“Isu ‘Stonehenge’ yang di Sepitang tu… kita ada isu dari segi pelaksanaan ‘elevated structure’ dari segi ‘Variation Order’ (VO) dan juga kaedah pelaksanaannya.
“Minggu lalu kita sudah membuat mesyuarat PSG (Problem Solving Governance) dan kita akan angkat isu ini kepada pihak Kementerian Kerja Raya untuk hala tuju yang seterusnya,” kongsinya kepada pemberita pada Rabu.
Menurut Baharuhom, pihaknya akan membuat pemantauan projek berkenaan dan mempercepatkan tindakan penyelesaian bagi memastikan projek tersebut dapat disambung semula dalam tempoh terdekat.





