Lawatan Diwarmas ke Brooke Dockyard imbau memori silam warga emas

KUCHING – Usaha memperkasakan kesejahteraan sosial dan emosi golongan veteran diteruskan Kelab Digital Warga Emas Kuching (Diwarmas) menerusi penganjuran Program Lawatan Riadah ke Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum pada Isnin.

Program anjuran Biro Sosial kelab tersebut yang berlangsung pada jam 9 pagi Isnin, disertai seramai 21 ahli dalam suasana santai namun penuh bermakna.

Menariknya, lawatan tersebut bukan sekadar aktiviti riadah biasa, malah bertukar menjadi sesi perkongsian nostalgia apabila beberapa peserta mula mengimbau kenangan peribadi berkaitan limbungan kapal berkenaan pada suatu ketika dahulu.

Bagi peserta, Juliani Mustapha, 62, pengalaman melangkah ke atas kapal pameran di muzium tersebut amat menyentuh emosinya.

“Ia membawa saya mengimbau kembali kenangan lama bersama keluarga ketika Brooke Dockyard masih beroperasi.

“Berada di lokasi yang wujud sezaman dengan perjalanan hidup keluarga memberi satu pengalaman emosi yang sukar digambarkan,” katanya.

Bagi warga emas, lawatan ke tapak bersejarah bukan hanya sekadar melihat artifak, sebaliknya ia adalah ruang untuk menghubungkan semula memori kehidupan masa lalu, berbeza dengan generasi muda yang mungkin menelaah sejarah hanya melalui bahan bacaan.

Sementara itu, Affendi Sahat, 66, menyifatkan program santai sedemikian sangat bermanfaat untuk komuniti seusianya.

“Aktiviti santai ini memberi ruang kepada warga emas untuk bukan sahaja kekal aktif, tetapi juga menerima pelbagai maklumat baharu. Ia sekali gus membuka mata kami untuk terus menimba ilmu selagi diberi peluang,” ujarnya.

Untuk rekod, Brooke Dockyard yang dibina pada 1908 dan beroperasi pada 1912 merupakan limbungan kapal tertua di Malaysia.

Pusat perindustrian terawal di Kuching itu kini diangkat sebagai Muzium Warisan Industri yang menempatkan galeri bertema, jentera asal serta replika kapal HHY Zahora.

Dalam pada itu, kehadiran petugas muda muzium yang mesra bertindak sebagai pemandu arah turut memeriahkan suasana.

Interaksi dua hala antara generasi muda dan warga emas ini bukan sahaja melancarkan perkongsian maklumat, malah menjadi jambatan silaturahim dalam menghargai warisan negeri.

Fasiliti muzium yang mesra warga emas dan mudah diakses turut mendapat pujian kerana memberi keselesaan optimum kepada peserta untuk meneroka setiap sudut pameran.

Melihat kepada maklum balas positif ahli, Diwarmas berharap lebih banyak inisiatif berteraskan riadah, literasi dan sosial dapat diteruskan pada masa depan bagi memastikan golongan warga emas terus menjalani kehidupan yang sihat, aktif serta berkualiti.

Related Posts

Air mata gembira iringi sambutan Hari Ibu di Beseri

BESERI – Suasana penuh sebak dan air mata gembira menyelubungi Dewan KEMAS Alor Tampang, Beseri apabila pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memakaikan selendang serta menyerahkan kad ucapan kepada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sabah perlu keluar daripada imej projek sakit – Mustapha

SANDAKAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan Sabah perlu berusaha meningkatkan prestasi pelaksanaan projek pembangunan bagi mengelakkan negeri itu terus dikaitkan dengan isu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Air mata gembira iringi sambutan Hari Ibu di Beseri

Air mata gembira iringi sambutan Hari Ibu di Beseri

Politik marah bukan penyelesaian: Rakyat mahu kemajuan, bukan naratif penindasan

Politik marah bukan penyelesaian: Rakyat mahu kemajuan, bukan naratif penindasan

Kerajaan perkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi hadapi ketidaktentuan ekonomi

Kerajaan perkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi hadapi ketidaktentuan ekonomi

Sabah perlu keluar daripada imej projek sakit – Mustapha

Sabah perlu keluar daripada imej projek sakit – Mustapha

Kerajaan MADANI peruntuk RM2.17 bilion laksana 39 projek pembangunan di Sandakan

Kerajaan MADANI peruntuk RM2.17 bilion laksana 39 projek pembangunan di Sandakan

SMJ Energy dinobat Rakan Kongsi Ekuiti Tahunan Anugerah Emerald Petronas 2026

  • By Ynom
  • May 11, 2026
SMJ Energy dinobat Rakan Kongsi Ekuiti Tahunan Anugerah Emerald Petronas 2026