
KOTA KINABALU – Kerajaan tidak mahu mengambil tindakan tergesa-gesa dalam isu kesesakan trafik di flyover Telipok sehingga boleh menjejaskan aliran trafik sedia ada.
Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, keputusan untuk mengalihkan bulatan sementara di kawasan berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga laporan teknikal lengkap daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diperoleh.
“Langkah ini penting bagi memastikan penyelesaian yang diambil benar-benar mampu mengurangkan kesesakan harian yang membelenggu pengguna jalan raya di laluan utama Telipok.
“Kita tidak mahu buat keputusan terburu-buru kerana selepas meneliti keadaan di kawasan flyover ini, roundabout sementara tersebut masih diperlukan setakat ini.
“Ia juga berkait dengan projek elevator U-turn yang dijangka siap pada bulan Ogos nanti serta kerja-kerja pembaikan jalan masuk ke arah Telipok,” katanya ketika melakukan tinjauan trafik di lokasi itu, di sini pada Ahad.
Menurut Mustapha, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya yang berdepan kesesakan teruk terutama pada waktu puncak sehingga menimbulkan tekanan kepada penduduk dan pengguna harian laluan berkenaan.
Sehubungan itu, Mustapha mengarahkan JKR dan DBKK mengemukakan pelan tindakan serta cadangan penyelesaian dalam tempoh seminggu sebelum keputusan lanjut dibuat.
“Saya minta pihak JKR dan DBKK menyediakan laporan mengenai perancangan mereka terlebih dahulu supaya keputusan yang dibuat nanti benar-benar memudahkan pengguna jalan raya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak Parlimen Sepanggar bersedia membantu dari sudut peruntukan kewangan sekiranya terdapat keperluan bagi melaksanakan langkah penyuraian trafik.
“Kita akan cuba cari dana sama ada melalui peruntukan Parlimen ataupun agensi lain untuk membantu melaksanakan penyelesaian yang terbaik,” jelasnya.
Mustapha turut meminta agar pengguna jalan raya bersabar sementara kerajaan dan agensi berkaitan memperincikan langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani masalah trafik di kawasan tersebut.






