
SEPAKAN percuma pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez memastikan pasukannya seri 1-1 menentang Liverpool di Anfield, sekali gus menamatkan rentetan enam kekalahan berturut-turut pelawat dalam Liga Perdana Inggeris.
Keputusan itu turut menghadiahkan pengendali sementara Chelsea, Calum MacFarlane mata pertama sejak mengambil alih pasukan.
Liverpool kekal di tangga keempat liga dengan 59 mata daripada 36 perlawanan dan semakin hampir mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara, manakala Chelsea berada di kedudukan kesembilan dengan 49 mata daripada jumlah aksi sama.
Tuan rumah mendahului menerusi rembatan menarik Ryan Gravenberch dari luar kotak penalti.
Namun Chelsea mempamerkan aksi lebih baik berbanding beberapa perlawanan sebelum ini dan berjaya menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma Fernandez gagal disentuh mana-mana pemain sebelum menerjah penjuru bawah gawang.
Kedua-dua pasukan turut menyaksikan jaringan dibatalkan akibat ofsaid, manakala Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk terkena tiang ketika Liverpool memburu gol kemenangan pada penghujung aksi.








