
KETIKA polis dengan kerjasama agensi kerajaan menyiasat kes yang boleh diklasifikasikan sebagai ajaran yang menyimpang (ajaran sesat), ada baiknya kita renung perkara yang berikut:
1. Sikap sesetengah ahli masyarakat, khasnya orang Melayu yang mudah terperangkap dengan candu agama menyebabkan ajaran sesat bercambah di negara ini.
2. Kebiasaannya, yang mudah terpengaruh ini golongan kurang berpendidikan. Kalaupun mereka berpendidikan dan golongan profesional, mereka baru berjinak-jinak dengan agama.
3. Yang mencetuskan ajaran itu dan pembantunya tampil dengan imej orang alim, contohnya berkopiah dan berjubah. Mereka juga sering menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadis untuk menarik perhatian masyarakat.
4. Diwujudkan kelompok kurang berpendidikan bertujuan meramaikan ahli. Dengan cara itu, jemaah tersebut dilihat mempunyai sokongan dan berpengaruh. Keadaan ini hampir sama dengan kaedah parti politik tertentu yang perlu ada pentaasub atau pewalak tak kira lelaki mahupun perempuan.
5. Pentaasub atau pewalak ini dihantar bekerja ke sana ke mari dengan gaji murah atau langsung tidak bergaji tetapi berkhidmat atas nama jihad, kononnya mereka akan diberi balasan syurga dan sebagainya.
6. Puak ajaran sesat ini akan mendekati golongan profesional dan hartawan yang kurang ilmu agama dan mudah dipengaruhi naratif kelebihan bersedekah.
7. Sebahagian profesional dan hartawan ini mendermakan kenderaan mewah dan tanah berhektar-hektar. Tidak kurang juga mendermakan jutaan ringgit untuk membina premis seperti sekolah (madrasah) dan surau.
8. Pemimpin ajaran sesat ini tahu bahawa kecetekan ilmu agama profesional atau hartawan tersebut mendorong golongan itu mencari jalan pintas ke syurga. Itu memudahkan mereka mendapatkan habuan yang lumayan.
9. Nama Abdurrahman bin Auf (tokoh dermawan Islam) pada zaman Rasulullah SAW akan menjadi sebutan dalam ceramah-ceramah mereka.
10. Dalam sesebuah jemaah (dan kini juga parti politik tertentu) kelihatan bahawa ketua-ketua mereka kaya-raya tapi pengikut bawahan mereka miskin.
11. Kebiasaannya pemimpin beristeri ramai, berkereta mewah, berumah banglo, memiliki pemandu dan pegawai peribadi, dan sering terbang ke luar negara.
12. Mereka ini akan melahirkan perasaan taasub kepada ketua dalam kumpulan tersebut. Oleh sebab itu, ada individu bertindak sebagai penglipurlara yang mendakwa ketua mereka itu wali Allah, alim besar, pemuda Bani Tamin, dan sebagainya.
13. Mereka menggelar ketua mereka Tuan Guru, Sheikh, Abuya, Maulana, Habib, dan sebagainya agar pengikut mereka lebih yakin dan terpesona.
14. Doktrinisasi ideologi taasub seperti ini memudahkan pihak pencetus ajaran sesat memperhambakan dan membutakan pemikiran manusia. Manusia mudah ditipu dari segi zahir. Akibatnya, ada pihak mengambil kesempatan.
Kesimpulannya, inilah yang sedang berlaku di negara kita dan kes terkini melibatkan kes Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB).
Sebagai warganegara yang waras, kita perlu menyokong pihak berkuasa bertindak tegas membendung penyelewengan ini.
Jangan sesekali kita menyalahkan pihak berkuasa atau menuduh kerajaan zalim kerana yang zalim itu sebenarnya penyeleweng agama!
Ingat, jangan tersilap kecam!







