
KLUANG – Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) merayu kepada kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing diatasi segera.
Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, ketika ini tempoh kerja panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing sering keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental kerana sukar mendapat masa berkualiti bersama keluarga serta berehat.
Menurutnya, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.

“Kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan insurans juga menambah beban kewangan yang perlu ditanggung pemandu, sebahagian besar pendapatan mereka terpaksa disalurkan untuk menanggung kos ini.
“Penyelesaian jangka panjang seperti perlindungan sosial lebih progresif, pengiktirafan dalam penarafan kerajaan terhadap pemandu dan skim faedah pekerjaan yang lebih fleksibel, progresif serta tidak statik antara langkah yang dapat membantu komuniti ini mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi lebih baik dan harmoni,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Mengulas lanjut Jose berkata, tekanan daripada platform seperti sering mengubah syarat pembayaran atau komisen, selain berdepan pelanggan juga menjadi punca kepada ketidakpuasan dan tekanan tambahan pemandu e-hailing dan p-hailing ini.
Jelasnya, perkara itu menyebabkan keletihan fizikal dan tekanan mental terhadap pemandu yang mungkin berisiko terbabit kemalangan jalan raya, selain tiada sokongan kesihatan memadai untuk menjaga kesejahteraan mereka.
“Mereka juga sukar mengambil cuti atau masa rehat, sebaliknya terus bekerja tanpa henti untuk memenuhi keperluan harian dan ini menjejaskan keseimbangan kehidupan kerja,” katanya.
Sementara itu, Jose berkata, terdapat keperluan kerajaan bersikap prihatin dengan kumpulan pekerja gig yang tiada jaminan pekerjaan tetap kerana masih belum diperuntukkan taraf dalam undang-undang negara ini.
“Perlindungan keselamatan sosial terhadap pemandu e-hailing dan p-hailing juga masih banyak ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau insurans perubatan.
“Perkara itu demi menjamin kelestarian komuniti ini dan industri serta menjamin masa depan, terutama dari segi kesihatan, keselamatan perkhidmatan dan jaminan kewangan untuk masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, GEM dilaporkan merayu kepada kerajaan agar memperhalusi kadar upah perkhidmatan e-hailing kerana ia didakwa tidak seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
GEM turut menegaskan tidak adil dan tidak bertanggungjawab sekiranya pihak berwajib hanya lepas tangan dan mengambil jalan mudah dengan ‘memangsakan’ pemandu perkhidmatan e-hailing ini.



