
SIBU – Niat untuk menyertai lelongan barangan antik membawa padah apabila seorang pengarah syarikat pembinaan kerugian RM222,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 70-an itu telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pada 14 April lalu.
Menurutnya, insiden bermula pada 22 Mac lepas apabila mangsa yang sedang melayari laman sosial Facebook telah menemui satu akaun meyakinkan yang menawarkan perkhidmatan lelongan barangan antik.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan dua individu melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan nombor telefon luar negara.
“Suspek yang menawarkan khidmat lelongan itu telah meminta mangsa membuat pelbagai bayaran kononnya untuk urusan dokumentasi, caj lelongan dan pelepasan hasil jualan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, bagi menyakinkan lagi mangsa, sindiket terbabit licik mengemukakan resit serta pelbagai dokumen palsu termasuk bukti transaksi lelongan yang didakwa telah dijalankan di luar negara.
Susulan laporan yang diterima, Azari mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya memerlukan sebarang nasihat atau maklumat lanjut.
“Masyarakat juga disaran untuk mengikuti laman Facebook @cybercrimealertRMP dan @JSJKPDRM bagi mendapatkan maklumat terkini, selain membuat semakan akaun bank serta nombor telefon yang mencurigakan menerusi portal CCID Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi,” ujarnya.



