
TEBEDU – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Tebedu, Dr Simon Sinang Bada memberi tumpuan kepada kesinambungan perancangan pembangunan kawasan itu sejurus selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Dewan Masyarakat Tebedu pada pagi Sabtu.
Penyandang kerusi berkenaan berkata, kehadiran lebih 1,000 penyokong parti yang mengiringinya ke pusat penamaan calon tersebut merupakan penghargaan besar serta suntikan semangat untuk meneruskan tanggungjawab kepada masyarakat setempat.
Beliau yang memperoleh nombor tiga pada kertas undi turut menzahirkan rasa syukur selepas urusan penyerahan borang pencalonannya berjalan lancar hari ini.
Pada pilihan raya negeri kali ini, Simon berdepan saingan empat penjuru menentang calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Kembi Rigong, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Dr Anselm Diye serta calon Bebas, Roland Bangu.
Seramai 21,470 pengundi berdaftar layak memilih di DUN Tebedu, manakala secara keseluruhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sembilan kawasan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, Simon merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan serta doa yang diberikan selain menyeru seluruh pengundi berdaftar di Tebedu supaya mengambil bahagian dalam proses demokrasi dengan keluar mengundi pada 12 Disember ini.
Menurut beliau, segala perancangan pembangunan yang sedang diusahakan di kawasan berkenaan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan kemajuan setempat serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, Simon yang pertama kali bertanding mewakili komponen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi kerusi DUN Tebedu dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 3,273 undi selepas meraih 5,082 undi.



