
TAWAU – Kerajaan Persekutuan diseru mempercepat kelulusan projek Southern Link MADANI Fasa 1B yang menghubungkan Ulu Padas ke Kalabakan sebagai usaha memastikan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah lebih stabil.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, projek terbabit amat penting dan mengurangkan risiko gangguan pada masa hadapan.
“Apabila berlaku bencana seperti ini, kita tidak mempunyai sumber bekalan elektrik alternatif.
“Akhirnya, masyarakat yang menanggung kesusahan, manakala sektor perniagaan dan industri menerima kesan paling besar.
“Penjawat awam juga tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan kita lihat sejak beberapa hari lalu, banyak pejabat di Tawau terpaksa ditutup akibat ketiadaan bekalan elektrik,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sukan Muhibah dan Hari Keluarga Wisma Persekutuan Tawau, pada Sabtu.

Menurut ADUN Tanjung Batu itu, gangguan seumpama itu sudah berlaku dua kali iaitu pada tahun lalu dan sekali lagi tahun ini, sekali gus memerlukan tindakan pantas daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Katanya, gangguan elektrik berpanjangan turut berisiko menjejaskan kelancaran perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan pedalaman Sabah.
Berkongsi pengalaman sebagai Pengarah Hospital yang berkhidmat di Ranau dan Lahad Datu, beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), biasanya sudah mempunyai pelan mitigasi yang bertahan selama tiga hari.
“Sebab itu, Southern Link MADANI ini penting supaya apa juga perancangan yang dibuat selepas ini dapat dilaksanakan dengan baik.
“Kita sememangnya memerlukan pelan kecemasan, tetapi pada masa sama perlu ada usaha untuk mengurangkan impak negatif sekiranya kejadian seperti ini berulang.
“Pada pandangan saya, perkara ini perlu dibawa oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen tanpa mengira parti bagi mengangkat permohonan Southern Link MADANI Fasa 1B ini di Dewan Rakyat.
“Kami juga di Dewan Undangan Negeri akan membawa perkara ini supaya wujud kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan projek berkenaan,” ujarnya.



