
AMPANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, membuat laporan polis bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan pemilik hartanah menyewakan premis kediaman dan perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen sah.
Laporan itu dibuat susulan aduan penduduk mengenai kehadiran warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen imigresen sah atau menggunakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak sah.
Altimet berkata, pemantauan susulan aduan berkenaan berjaya mengenal pasti beberapa premis kediaman dan perniagaan yang dipercayai disewakan kepada golongan terbabit.
“Kami mengesyaki beberapa pemilik hartanah di kawasan kejiranan ini menyewakan premis atau rumah kepada warga asing tanpa dokumen sah atau pemegang kad UNHCR yang tidak sah.
“Kami berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan. Buat masa ini, kami tidak menuduh mana-mana pihak kerana ini hanyalah syak wasangka.
“Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya, selepas membuat laporan itu di Balai Polis Ampang kira-kira 3.17 petang tadi.
Menurutnya, perbuatan itu berkemungkinan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman terhadap penghuni atau pemilik premis yang membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk atau berada di premis mereka.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut membabitkan ahli majlis tempatan, ketua kampung, jawatankuasa rukun tetangga dan persatuan penduduk bagi menyokong usaha penguatkuasaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Katanya, aduan mengenai isu itu kerap diterima menerusi aplikasi WhatsApp, media sosial serta kunjungan penduduk ke pusat khidmatnya.
Altimet turut mendakwa kegiatan perniagaan oleh warga asing tanpa dokumen sah boleh menjejaskan sumber pendapatan serta mata pencarian peniaga tempatan dengan kawasan panas dikenal pasti di Tasik Tambahan 2 dan 3, Taman Sri Raya, Taman Sri Bayu serta Kampung Ampang Campuran.
Laporan itu turut menyenaraikan 19 premis kediaman, membabitkan 16 premis di Taman Sri Raya dan tiga lagi di Taman Tasik, selain beberapa premis perniagaan di Tasik Tambahan yang didakwa dihuni warga asing.
