
KUCHING – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak menggesa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak supaya mengutamakan penyelesaian terhadap masalah asas rakyat serta isu kepenggunaan sedia ada, selain mengemukakan perancangan pembangunan baharu.
Yang Dipertua MTPN Sarawak, Lucas Lau berkata, musim pilihan raya bukan sekadar medan memperkenalkan manifesto dan idea baharu, sebaliknya menjadi ruang kepada calon untuk menilai keperluan sebenar masyarakat di lapangan.
Menurut beliau, walaupun pembangunan baharu penting bagi memastikan Sarawak terus maju dan berdaya saing, permasalahan asas yang masih belum selesai tidak seharusnya diketepikan.
“Saya menghormati keberanian dan kesediaan setiap individu untuk menawarkan khidmat kepada rakyat.
Namun, saya berharap setiap calon bukan sahaja tampil dengan idea pembangunan yang baharu, malah berani menyentuh isu-isu sedia ada yang masih belum diselesaikan.
“Kita tidak boleh terlalu ghairah membina sesuatu yang baharu sehingga terlupa bahawa masih terdapat perkara asas yang perlu diperbaiki,” katanya.
Lucas menegaskan kejayaan pembangunan negeri tidak wajar diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, jumlah pelaburan atau projek berskala besar semata-mata, sebaliknya perlu dirasai masyarakat akar umbi termasuk peniaga kecil, pengusaha mikro, golongan bekerja sendiri, belia dan keluarga di luar bandar.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan isi rumah median Sarawak pada 2024 ialah RM5,504 sebulan manakala kadar kemiskinan mutlak negeri berada pada 8.4 peratus, yang menggambarkan keperluan berterusan untuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat, merapatkan jurang pekerjaan serta membantu perusahaan kecil berkembang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan MTPN Sarawak menerima hampir 100 aduan berhubung kegiatan pemberi pinjam wang tidak berlesen atau along sepanjang 2026, termasuk aduan terhadap syarikat pemberi pinjam wang yang didakwa tidak mematuhi peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
Beliau menjelaskan isu tersebut bukan sekadar melibatkan beban hutang individu atau kewangan keluarga, malah memberi kesan langsung terhadap ekonomi mikro, kelangsungan perniagaan kecil serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Hampir 100 aduan dalam tempoh setahun bukan angka yang boleh kita pandang ringan. Isu ini bukan hanya melibatkan kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen, tetapi turut merangkumi aduan berkaitan syarikat pemberi pinjaman wang yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
“Kita perlu memastikan bahawa aktiviti pemberian pinjaman wang dijalankan secara sah, bertanggungjawab dan mengikut kerangka perundangan yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, Lucas berharap semua calon PRN Sarawak mengemukakan cadangan penyelesaian praktikal terhadap isu berkenaan, termasuk memperkukuh saluran aduan bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna terus dilindungi.



